Home Luar Negara WANITA MAUT DITELAN PITON 7.8 METER

WANITA MAUT DITELAN PITON 7.8 METER

11
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

JAKARTA: Seorang wanita ditemukan maut selepas dipercayai ditelan dan dililit seekor ular sawa sepanjang 7.8 meter dalam kejadian di sebuah kebun di Desa Ratahaya, Kecamatan Taliabu Barat, Kabupaten Pulau Taliabu, Indonesia.

Mangsa, Elisabet Yamalau, 44, dilaporkan keluar dari rumah pada petang Selasa, 9 Jun lalu untuk memindahkan ternakan lembu milik keluarganya sebelum gagal pulang seperti kebiasaan.

Menurut laporan media tempatan DetikSulsel yang memetik Ketua Polis Pulau Taliabu, AKBP Adnan Wahyu Kashogi, mangsa memaklumkan kepada suaminya, Benyamin Lanto, 52, bahawa beliau mahu ke kebun kira-kira jam 3.30 petang waktu tempatan.

Namun, selepas beberapa jam berlalu dan mangsa masih belum pulang ke rumah, suaminya mula berasa bimbang sebelum mengambil keputusan untuk mencarinya di kawasan kebun berkenaan.

“Sehingga jam 6.15 petang, mangsa masih belum kembali ke rumah. Suaminya yang khuatir kemudian pergi ke kebun untuk memastikan keadaannya,” katanya.

Setibanya di lokasi, Benyamin dikejutkan dengan pemandangan menyayat hati apabila mendapati isterinya sedang ditelan seekor ular sawa gergasi, dengan sebahagian besar tubuh mangsa sudah berada di dalam mulut reptilia itu.

“Dalam keadaan cemas, beliau bertindak memotong kepala ular tersebut menggunakan peralatan yang ada bagi menyelamatkan isterinya.

“Usaha itu berjaya mengeluarkan mangsa daripada mulut ular serta melepaskannya daripada lilitan reptilia berkenaan, namun wanita itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Selepas berjaya dievakuasi, mangsa didapati telah meninggal dunia,” kata Adnan.

Benyamin kemudian mendapatkan bantuan penduduk kampung sebelum mayat isterinya dibawa pulang ke rumah untuk urusan pengebumian.

Kejadian itu menggemparkan penduduk setempat yang segera membantu proses membawa keluar mayat mangsa dari kawasan kebun.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here