Home Buletin Semasa 166 PATI FILIPINA DIHANTAR PULANG MELALUI LAHAD DATU

166 PATI FILIPINA DIHANTAR PULANG MELALUI LAHAD DATU

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah terus mempergiat usaha penghantaran pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara asal apabila seramai 166 warga Filipina dipindahkan menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Balik ke Negara Asal.

Program berkenaan membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Sandakan yang dihantar pulang ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina melalui Pelabuhan Lahad Datu menggunakan perkhidmatan feri komersial.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman rasmi JIM Sabah, kumpulan PATI yang dipindahkan terdiri daripada 143 lelaki dewasa, enam wanita dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan berusia antara empat bulan hingga 66 tahun.

“Kanak-kanak yang terbabit dalam program itu turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing sepanjang proses penghantaran pulang dilaksanakan.

“Sebelum itu, pada 16 Jun lalu, JIM Sabah turut melaksanakan pemindahan tahanan PATI warga Filipina melalui udara membabitkan 11 individu dari Depot Imigresen Kota Kinabalu yang dihantar terus ke Manila menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu,”menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan, daripada jumlah tersebut, sembilan adalah lelaki dewasa manakala dua lagi wanita dewasa.

Pada tarikh sama, Depot Imigresen Tawau turut melaksanakan penghantaran pulang sembilan warga China yang terdiri daripada tujuh lelaki dewasa dan dua wanita dewasa menerusi penerbangan terus dari Lapangan Terbang Tawau ke Guangzhou, China.

“Sehingga kini, seramai 2,428 tahanan PATI warga Filipina dan 70 warga China telah berjaya dipindahkan ke negara asal masing-masing daripada keseluruhan 3,625 tahanan PATI pelbagai warganegara yang telah dihantar pulang,” jelas kenyataan itu.

JIM Sabah memaklumkan kesemua tahanan yang terbabit telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang negara serta memiliki dokumen perjalanan atau Travel Documents (TD) yang sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses penghantaran pulang.

Dalam pada itu, jabatan berkenaan menegaskan akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang didapati menggaji atau melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah.

Menurut JIM Sabah, majikan yang melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara serta sebatan bagi kesalahan bersubahat atau melindungi PATI.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here