Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Titik tumpu serangan asid lazimnya adalah wajah kerana ia memberi impak maksimum terhadap fizikal dan psikologi mangsa.
Justeru, mengetahui tindakan kecemasan awal adalah sangat penting.
Individu yang berdepan simbahan atau serangan asid disarankan segera memalingkan badan ke belakang bagi mengelak asid terkena pada wajah atau anggota penting.
Pakar Bedah Plastik Dan Rekonstruktif Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Dr Siti Fatimah Noor Mat Johar berkata, tindakan itu boleh mengelak kerosakan kekal pada bahagian penting.

“Ketika berdepan detik itu, mangsa perlu cuba sedaya upaya tutup wajah, mata, mulut mahupun leher menggunakan apa sahaja yang ada kerana bahagian ini sangat sulit untuk dirawat khususnya dalam mengembalikan semula imej mangsa.
“Sekiranya sudah terkena simbahan asid, perkara utama adalah mangsa perlu buang pakaian dan aksesori yang dipakai bagi mengelak ia lebih parah dan segera melakukan irigasi air pada badan sekurang-kurang 30 minit hingga dua jam,” katanya.
Menurut Dr Siti Fatimah, langkah itu bagi mengurangkan kepekatan asid iaitu pH, sekaligus melambatkan kesan lecur dan terbakar pada kulit.

Katanya, pihak hospital akan memeriksa pH asid pada luka pesakit menggunakan kertas litmus dan meneruskan proses irigasi selagi skala pH belum kembali neutral sebelum membalut luka tersebut.
Beliau berkata jika asid itu berskala kurang daripada lima, pihaknya akan mempercepatkan proses pembedahan dalam tempoh 24 jam.
“Jika pH asid berskala lebih daripada lima, ia kemungkinan tidak memerlukan pembedahan sebaliknya luka itu hanya perlu dicuci.
“Namun, pH asid yang berskala rendah atau kepekatannya tinggi, kemungkinan besar pesakit harus menjalani pembedahan, pengikisan, pembuangan kulit yang melecur, kulit mati atau sisa asid selama beberapa sesi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan tahap kelecuran badan manusia apabila terkena cecair itu.

Katanya, kelecuran pada tahap satu boleh menyebabkan kemerahan atau pedih ringan manakala pada tahap dua akan terbentuk gelembung berisi cecair pada lapisan antara epidermal dan dermal yang boleh mengakibatkan pedih dan sakit.
Namun luka yang dalam iaitu tahap dua yang dalam, pesakit tidak merasakan sakit kerana saraf telah pun rosak.
Bagi tahap tiga pula, asid itu membakar hingga ke lapisan saraf hingga mengakibatkan kulit menjadi keras dan berwarna putih, pucat atau kehitaman.
“Mangsa mungkin tidak merasa sakit kerana saraf sudah rosak, namun ini tanda luka sangat parah,” katanya.
Selain itu, bagi proses pembedahan, pihak hospital menggunakan kaedah baharu seperti hydro surgery iaitu memotong kulit dengan kelajuan air selain daripada kaedah konvensional menggunakan humby knife.
“Kaedah hydro surgery membolehkan penyingkiran kulit dilakukan secara lebih halus dan tepat berbanding penggunaan pisau yang sukar dikawal pemotongannya.
“Selain itu, penggunaan air dalam kaedah ini turut membantu menaikkan pH ke tahap selamat untuk rawatan,” katanya.
Beliau yang juga Penyelaras Unit Sains Rekonstruktif Pusat Pengajian Sains Perubatan HPUSM berkata, sekiranya sisa asid sudah tiada, pihaknya akan menutup luka itu dengan tampalan daripada kulit pesakit sendiri.
Katanya kulit tersebut diambil daripada paha pesakit menggunakan dermatone.
“Jika kulit pesakit itu tidak cukup disebabkan permukaan luka terlalu luas, kita akan potong kepingan kulit pesakit menjadi lebih kecil menggunakan kaedah meek micro grafting.
“Seterusnya akan dilekatkan pada permukaan gabus dan foil agar menjadi kembang supaya kawasan luka dapat ditutup,” katanya.
Tambah beliau, luka itu boleh menyebabkan komplikasi parut keras yang boleh menarik kulit hingga menyebabkan dagu bercantum ke dada, mulut mengecil atau kelopak mata tertarik keluar yang dikenali sebagai scar contracture.
Namun sekiranya komplikasi itu tidak berlaku, pesakit hanya perlu menunggu fasa pematangan parut selama tempoh enam bulan hingga setahun setengah.
“Pesakit mungkin perlu menjalani beberapa siri pembedahan untuk membuang parut yang menyebabkan penegangan, membuat tampalan kulit baharu atau melakukan pembedahan rekonstruktif,” katanya.
Namun, jika melibatkan kehilangan anggota seperti jari atau penglihatan, kerosakan itu adalah kekal dan tidak dapat digantikan.
Terdahulu, pelajar Masters dalam bidang Pembedahan Plastik, Dr Janakan Naidu sempat membuat demontrasi simbahan asid terhadap daging khinzir bagi menunjukkan kesan serta-merta bahan kimia itu.

Kesan daripada demonstrasi tersebut, kulit khinzir tersebut melecur dan mengeras dalam tempoh kurang lima minit menunjukkan asid pH rendah sangat bahaya.
IMedikel TV






