Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) mengadakan perbincangan serius bagi menyelesaikan isu feri di Pengkalan Kubor yang didakwa kerap mengalami kerosakan sehingga menjejaskan kehidupan harian penduduk serta ekonomi sempadan.
Menerusi hantaran di media sosial pada Isnin, beliau meluahkan kebimbangan terhadap masalah berulang yang menyebabkan perkhidmatan feri itu tidak dapat beroperasi dalam tempoh yang panjang.
“Secara purata kerosakan feri dianggarkan dua kali sebulan dengan pelbagai alasan teknikal termasuk masalah enjin, sekali gus menyebabkan operasi terpaksa dihentikan antara tujuh hingga 10 hari setiap kali kerosakan berlaku.
“Untuk sekian kali saya nak bercakap berhubung isu ini. Apabila masalah ini masih tidak selesai, saya rasa sudah sampai masanya JKR dan MOT duduk berbincang secara serius.
“Ini bukan sekadar isu pengangkutan, tetapi membabitkan kehidupan harian rakyat dan turut memberi kesan kepada ekonomi sempadan,” katanya.
Beliau berkata, feri berkenaan adalah salah satu medium pengangkutan awam utama yang digunakan penduduk setempat.
Mumtaz turut menegaskan bahawa Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor adalah nadi ekonomi masyarakat sempadan, manakala perkhidmatan feri pula menjadi antara pengangkutan utama yang digunakan pengunjung dan peniaga untuk urusan jual beli.
“Zon Bebas Cukai adalah nadi ekonomi rakyat sempadan dan feri menjadi pengangkutan yang membawa pembeli serta pelancong ke kawasan berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera dan mencari penyelesaian jangka panjang bagi memastikan perkhidmatan feri beroperasi secara lebih stabil demi kepentingan penduduk serta kelangsungan ekonomi setempat.
IMedikel TV






