Home Buletin Semasa WABAK RABIES TERKAWAL, 46 KES HAIWAN DIREKOD DI SARAWAK

WABAK RABIES TERKAWAL, 46 KES HAIWAN DIREKOD DI SARAWAK

574
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) merekodkan sebanyak 46 kes rabies membabitkan haiwan di Sarawak bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sejak wabak itu dikesan pada 2017 meningkat kepada 1,161 kes.

Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit dan Biosekuriti Veterinar DVS, Dr. Aida Muhid, berkata bagaimanapun, ancaman serius wabak itu masih berada dalam keadaan terkawal di Malaysia.

“Setakat ini, Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan masih bebas rabies.

“Hingga September tahun ini, kita telah vaksin sebanyak 13,612 ekor anjing, manakala 5,965 ekor lagi menerima suntikan vaksin di negeri penampan termasuk Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Rabies Sedunia 2025 di Mydin Mall Tunjong, di sini, hari ini.

Majlis itu turut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah.

Dr. Aida berkata, negeri penampan seperti Kelantan berada di barisan hadapan dan perlu memainkan peranan penting kerana bersempadan dengan Thailand yang masih mencatatkan kes rabies aktif di wilayah Songkhla.

Jelasnya, masyarakat di negeri terlibat perlu mengambil perhatian serius terhadap tanda-tanda penyakit rabies serta langkah pencegahan daripada gigitan anjing dijangkiti virus itu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan, Dr. Yahasmida Yaacob.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here