Home Sukan VINICIUS PENYELAMAT MADRID KE SUKU AKHIR

VINICIUS PENYELAMAT MADRID KE SUKU AKHIR

MADRID: Real Madrid melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara sekalipun seri 1-1 pada aksi kedua pusingan 16 terakhir dengan RB Leipzig awal pagi tadi, mara menerusi agregat 2-1.

Pemenang dengan rekod 14 kali itu jauh daripada mempamerkan persembahan sebenar mereka tetapi cukup untuk menyingkirkan pasukan lawan dari Bundesliga Jerman.

Sekalipun Leipzig menguasai permainan, Vinicius Junior membuka tirai jaringan pada minit ke-65 selepas mendapat umpanan Jude Bellingham.

Willi Orban pantas membalas buat pelawat tiga minit kemudian namun mereka gagal menemui gol kedua untuk memaksa perlawanan berlanjutan ke masa tambahan di Santiago Bernabeu.

Jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti berkata pasukannya merana kerana tidak turun dengan persiapan mental yang baik.

“Kami bermain dengan teruk, tidak banyak mengasak, dengan kebimbangan… aspek psikologi banyak menguasai permainan kami,” kata Ancelotti kepada Movistar.

“Kami berdepan lawan yang berkualiti, yang tidak bimbang apa-apa dan kami bergelut dari awal hingga penamat – kami merana, tetapi apa yang penting kami mara ke suku akhir.”

Ancelotti memberi amaran kepada pemainnya sebelum perlawanan itu mereka perlu berada pada tahap terbaik untuk layak dan mempamerkan kebimbangannya apabila meletakkan empat pemain tengah di belakang Bellingham dan Vinicius.

Pengendali dari Itali itu menurunkan Aurelien Tchouameni sebagai pemain tengah bertahan selain menggunakan Eduardo Camavinga, Federico Valverde dan Toni Kroos, ketika beliau mahu melindungi kelebihan 1-0 pada aksi pertama.

Bagaimanapun perancangan permainan Ancelotti membantutkan serangan Madrid tanpa menyekat Leipzig sepenuhnya.

“Ia bukannya hari terbaik kami, tetapi kami mesti bergembira kerana objektif kami sudah lengkap,” kata kapten Madrid, Nacho Fernandez kepada Movistar.

– AFP,BH Online-

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here