Home Sukan VINICIUS, AITANA PEMAIN TERBAIK FIFA

VINICIUS, AITANA PEMAIN TERBAIK FIFA

136
0

DOHA: Penyerang Real Madrid Vinicius Junior memenangi anugerah Pemain Lelaki Terbaik Tahunan Fifa di Doha, awal pagi tadi manakala pemain tengah Barcelona Aitana Bonmati dipilih pemenang wanita untuk kali kedua.

Anugerah itu berlangsung dua bulan selepas Vinicius yang berusia 24 tahun menduduki tempat kedua Ballon d’Or menyaksikan Real memboikot majlis selepas mereka mendapat tahu lebih awal pemain tengah Manchester City Rodri memenanginya.

Namun, kali ini pemain Brazil itu sendiri mengambil trofi di Qatar ketika kelabnya bakal bertembung dengan wakil Mexico Pachuca pada final Piala Antara Benua, awal pagi esok.

“Terima kasih tidak terhingga. Saya tak tahu di mana hendak bermula. Sukar untuk difikirkan bagaimana saya boleh berada di pentas ini. Saya membesar dalam dunia kemiskinan dan dibelenggu jenayah.

“Anugerah ini untuk semua kanak-kanak yang membesar dalam dunia itu. Saya berterima kasih kepada semua yang mengundi saya,” kata Vinicius di atas pentas.

“Terima kasih juga kepada keluarga, kelab dan rakan sepasukan, kepada Carletto (jurulatih Madrid Carlo Ancelotti) yang selalu membantu saya.

“Kepada sesiapa sahaja yang membantu merealisasikan impian saya. Saya harap kekal di Madrid untuk tempoh lebih lama kerana ia kelab terbaik dunia.

“Juga kepada Flamengo (kelab pertamanya di Brazil) dan rakan sepasukan skuad kebangsaan. Tak lupa juga kepada negara saya yang sentiasa menyokong kerja-kerja saya.”

Vinicius menggantikan Lionel Messi sebagai Pemain Terbaik Fifa selepas bintang Argentina itu memenanginya dua kali sebelum ini.

Penyerang berbisa itu menjaringkan 24 gol dan mencipta 11 bantuan jaringan dalam 39 perlawanan semua kejohanan ketika membantu Real meraih gelaran berganda musim lalu dengan memenangi LaLiga dan Liga Juara-Juara.

Pemain Sepanyol berusia 26 tahun, Aitana pula memenangi kategori wanita untuk dua tahun berturut-turut selepas meraih dua trofi Ballon d’Or dalam koleksinya.

“Saya bersyukur, gembira dan bangga menerima anugerah ini,” katanya dalam ucapan menerusi video dari Stadium Olimpik Barcelona.

Musim lalu, Aitana membantu Barcelona mencipta sejarah dengan meraih empat gelaran dan menjuarai Liga Negara-Negara bersama skuad kebangsaan. – AFP –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here