Home Sukan VICENTE YAKIN PEMAIN KEKAL FOKUS

VICENTE YAKIN PEMAIN KEKAL FOKUS

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente percaya pengumuman awalnya yang akan meninggalkan pasukan sebaik berakhir cabaran di Piala Asean tidak akan mengganggu fokus beliau mahupun anak buahnya.

Katanya, beliau meletakkan profesionalism dan tanggungjawab di tahap tertinggi biarpun selepas ini akan meninggalkan skuad negara.

Ujarnya, kesan emosional daripada keputusan meninggalkan pasukan tidak akan memberi kesan kepada prestasi skuad Harimau Malaya yang menyasarkan untuk melangkah sejauh mungkin di kejohanan serantau itu.

“Saya harap ia tidak memberi kesan kepada moral pasukan. Pemain kita, walaupun ramai yang muda, mereka sudah mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa

“Saya yakin mereka cukup profesional untuk memberi sepenuh tumpuan kepada kejohanan ini,” katanya.

Untuk rekod, Vicente dilantik sebagai jurulatih skuad kebangsaan bagi menggantikan pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan-gon yang melepaskan jawatan pada Julai lalu.

Vicente sebelum itu adalah penolong jurulatih kepada Pan-gon dengan kejayaan terbesar membawa skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 di Qatar sekali gus menamatkan badi 42 tahun untuk beraksi di kejohanan Asia itu

Sepanjang empat bulan mengendalikan pasukan, Vicente yang berasal dari Sepanyol berjaya menghadiahkan satu trofi kepada Malaysia apabila menjuarai Pestabola Merdeka pada September lalu.

Malah dalam lima perlawanan diharungi di bawah kendalian bekas jurulatih skuad remaja Barcelona itu, Malaysia hanya tewas sekali 0-4 kepada New Zealand dan seri 1-1 dengan India, dengan selebihnya menang ke atas Filipina (2-1), Lubnan (1-0) dan Laos (3-1).

Saingan Piala Asean kali ini, skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Thailand, Timor Leste dan Singapura.

Keputusan Vicente meninggalkan pasukan selepas Piala Asean adalah untuk memberi laluan kepada revolusi bola sepak negara yang dicetuskan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan satu pengumuman sistem baru pengurusan skuad negara akan dilakukan pada 15 Disember ini. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here