Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang mengumpul jumlah kerugian premis bangunan dan kediaman yang terjejas banjir dan bakal diumumkan nanti, itu kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu.
Beliau berkata, pihaknya turut mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membantu dalam mengumpul maklumat kerugian tersebut.
“Di peringkat kami pada masa yang sama juga PBT telah diarahkan untuk melihat mana ruang yang boleh bantu.
“Pasukan kita sebenarnya telah pun bersiap sedia lebih awal cuma yang kesan masuk air itu adalah benda yang agak biasa cuma apa-apa kerosakan itu mesti ada laporan yang sahih untuk kita nilai balik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Program Lawatan Turun Padang Operasi Monsun Timur Laut (MTL) Kelantan di Dewan Perniagaan Cina, di sini, hari ini.
Aiman Athirah berkata KPKT bersama NADMA dan agensi lain iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut merekod serta membuat pengesahan berhubung kawasan terjejas banjir.
“Di sudut infra agensi telah diarahkan turun termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melihat jalan lain yang rosak berapa peruntukkan yang diperlukan untuk proses pemuliihan, itu juga sudah diambil kira,” katanya.
Hadir sama mengiringi beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim pada program tersebut.
IMedikel TV






