Home Sukan VICARIO MOHON MAAF KEPADA PENYOKONG SPURS

VICARIO MOHON MAAF KEPADA PENYOKONG SPURS

LONDON: Penjaga gol Tottenham Hotspur, Guglielmo Vicario tampil memohon maaf kepada penyokong selepas pasukan itu tewas 1-4 kepada Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris, sambil mengakui Spurs gagal menunjukkan semangat juang sepanjang perlawanan.

Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, Spurs tidak pernah menang dalam aksi liga di Emirates sejak 15 tahun lalu, dan rekod buruk itu jelas tidak berubah apabila Eberechi Eze meledak hatrik untuk pendahulu liga berkenaan.

“Malam yang sangat teruk bagi kami. Pertama sekali, kami perlu memohon maaf kepada penyokong yang sentiasa bersama kami,” kata Vicario.

“Mereka mengharapkan kami berjuang, tetapi hari ini kami tidak berjuang. Kekalahan ini amat memeritkan.”

Turun dengan pendekatan bertahan, Spurs hampir tidak memberi ancaman di depan gawang, kecuali satu jaringan menarik Richarlison yang hadir daripada serangan mengejut untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Hakikatnya, kekalahan boleh menjadi lebih besar jika bukan kerana kecemerlangan Vicario yang beberapa kali menyelamatkan gawangnya.

Spurs kini perlu bangkit segera menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang juara bertahan, Paris Saint-Germain, awal pagi Khamis ini.

“Kami perlu kekal bersama. Malam Rabu (awal pagi Khamis) adalah perlawanan besar, tetapi kami perlu bersatu. Malam ini kami gagal menunjukkan kemampuan sebenar,” ujar Vicario lagi.

“Emosi ketika ini memang tinggi, tetapi kami perlu bertenang dan memohon maaf kepada penyokong yang datang jauh untuk menyokong kami.

“Kami terlalu lama menunggu untuk masuk dalam permainan. Kami terlalu pasif. Perancangan kami sebenarnya berbeza, tetapi hari ini kami tidak berjuang dan itu kesilapan terbesar kami.” – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here