Home Hiburan IDEA ALEESYA DI ‘LUAR KOTAK’

IDEA ALEESYA DI ‘LUAR KOTAK’

SHAH ALAM: Bintang yang mendapat julukan Primadona Filem Melayu, Erra Fazira, 51, memberi ruang kepada Engku Aleesya Engku Emran, 16, menentukan sendiri haluan kerjaya, malah sedia memberi sokongan dan galakan penuh kepada puteri tunggalnya itu.

Memetik laporan Berita Harian, biarpun memberi kebebasan, Erra atau nama sebenar, Fazira Wan Chek menegaskan, pilihan dan jalan diambil Aleesya perlu sentiasa berada di landasan tepat, tidak kira apa juga bidang diceburi.

“Sebagai ibu, kita memang akan menggalakkan minat anak, asalkan di landasan yang betul.

“Kalau dia minat berlakon, mengacara atau menyanyi, saya tidak ada halangan. Malah, jika dia cenderung ke bidang pengacaraan, saya sendiri lebih suka.

“Apa juga bidang yang diminatinya, peranan saya memastikan dia bersedia dari segi mental dan ilmu,” katanya pada sidang media pelancaran buku pertama nukilan Aleesya, iaitu Little Nina and the Virtues of Fatimah Az Zahra di sini, semalam.

Turut bersama bekas suami Erra, Engku Emran Engku Zainal Abidin serta pengasas Tertib Publishing, Khairul Amar Razali.

Erra yang popular dengan lagu Yang Terindah Hanyalah Sementara berkata, biarpun tidak menunjukkan minat mendalam ke arah dunia seni dan masih pemalu, dia melihat Aleesya mempunyai potensi dalam bidang pengacaraan.

“Buat masa ini, dia belum benar-benar menunjukkan minat ke arah bidang seni. Namun, dalam pengacaraan mungkin ada sedikit, cuma agak pemalu dan lontaran suaranya belum cukup kuat.

“Tetapi, saya tidak melihat itu sebagai halangan kerana apabila saya imbas kembali pengalaman dahulu, saya juga tidak begitu yakin pada awalnya. Lama-kelamaan, dengan latihan dan pengalaman, semuanya boleh dipelajari.

“Saya tidak kata dia langsung tidak minat (bidang seni). Ada masa tertentu, dia menunjukkan kecenderungan. Cuma, buat masa ini, Alhamdulillah, kita nampak bakatnya lebih menyerlah dalam bidang penulisan,” katanya.

Erra berkata, dia mengagumi bakat dimiliki Aleesya dalam bidang penulisan sehingga mampu menghasilkan karya menarik sejak masih kecil.

“Saya bukan mahu puji anak tetapi saya kagum dengan ideanya yang saya sifatkan di luar kotak dalam penulisan. Sejak kecil dia sudah tunjukkan bakat menulis.

“Sebagai seorang yang pemalu, segala perasaan dicurahkan menerusi penulisan, macam saya dahulu sebelum adanya gajet.

“Saya suka menulis dan membaca, bahkan karangan saya dahulu sering menjadi contoh kepada rakan sekelas,” katanya.

Pada masa sama, Erra tidak menolak penulisan mampu menjana pendapatan sampingan buat Aleesya pada masa akan datang sekiranya dia meneruskan karier dalam bidang berbeza.

“Kalau dia benar-benar minat dan memberi tumpuan ke arah itu, saya tiada masalah. Bagi saya, mudah sahaja, jika dia merasakan itu platform sepenuh masa yang boleh menghasilkan karya dan jualan yang baik, saya sokong.

“Namun, pada sudut pandangan saya sekarang, saya melihatnya lebih sebagai sumber pendapatan sampingan.

“Jika dia mahu menjadi doktor haiwan atau pakar psikologi, teruskan dan dapatkan sijil dalam bidang terbabit. Kerjaya menulis ini boleh menjadi sokongan sebagai pendapatan sampingan dan ia sentiasa ada,” katanya.

Sementara itu, bapa Aleesya, Engku Emran turut memberi galakan kepada Aleesya untuk menulis buku dalam bahasa Inggeris yang mudah difahami kanak-kanak.

“Ketika Aleesya menulis buku ini, dia baru berusia 14 tahun. Masa itu tidak sesuai lagi dia untuk dia menulis kisah cinta remaja. Saya mahu dia tulis buku yang mampu memberi inspirasi kepada kanak-kanak.

“Saya tak mahu letak sasaran tinggi untuk dia, cukup untuk di menulis buku yang mudah difahami walaupun dia sendiri membaca buku-buku untuk pembaca dewasa,” katanya.

Erra mendirikan rumah tangga dengan Engku Emran pada 2007 dan dikurniakan Aleesya. Pasangan itu bagaimanapun bercerai pada 2014.

Sebelum itu, Erra berkahwin dengan Datuk Yusri Abdul Halim pada 2003, namun, bercerai pada 2006. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here