KUALA LUMPUR: Tiada apa lagi yang perlu difikirkan skuad bawah 17 (B-17) tahun negara selain memberi fokus untuk mengatasi Yaman dalam aksi pertama Piala Asia B-17 2023, petamg ini.
Aksi pertama di Stadium Thammasat itu sangat penting buat anak buah Osmera Omaro kerana keputusan perlawanan akan mempengaruhi perjalanan seterusnya skuad negara dalam Kumpulan A.
Meskipun tampak bakal berdepan tugas berat, namun tiada apa perlu ditakutkan barisan pemain muda negara yang dianggap mempunyai kekuatan untuk mara sejauh mungkin dalam kejohanan itu.
Jika melihat kepada persiapan kedua-dua pasukan dalam aksi persahabatan, Yaman meraih motivasi lebih baik apabila berjaya mengatasi Vietnam 2-0 dan Arab Saudi 1-0.
Berbeza dengan skuad negara yang tewas masing-masing 2-3 dan 1-4 kepada Uzbekistan dan Arab Saudi dalam dua aksi persahabatan terakhir mereka sebelum ini.
Namun, keputusan itu tidak boleh diambil kira kerana aksi 90 minit di Thailand, hari ini yang akan menentukan pasukan mana lebih layak untuk membuka saingan Piala Asia B-17 2023 dengan langkah kanan.
Mengenai rekod pertemuan kedua-dua pasukan, tidak banyak yang boleh diperkatakan dengan Malaysia pernah berdepan Yaman di peringkat kumpulan pada edisi 2008.
Malaysia diberikan kemenangan 3-0 pada pertembungan itu walaupun perlawanan sebenar berkesudahan 1-1 selepas Yaman didakwa menurunkan pemain tidak layak.
Sumber BH Online
Imedikel TV






