Home Buletin Semasa POLISAS TANAM 360 POKOK SEMPENA JUBLI EMAS

POLISAS TANAM 360 POKOK SEMPENA JUBLI EMAS

KUANTAN: Sebanyak 300 pokok balak pelbagai spesies ditanam sempena Sambutan 50 Tahun Jubli Emas Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) dan Hari Ozon Sedunia, di sini kelmarin.

Pada program anjuran Smartgreen Polisas itu turut ditanam sebanyak 60 spesies pokok kelapa. Aktiviti menanam dilakukan oleh penuntut Polisas dibantu agensi kerajaan yang terbabit.

Pengarah Polisas, Hisamudin Tamim berkata, program kali ini memberi peluang pada penuntut Polisas Program Seni Bina menanam pelbagai spesies pokok dibeberapa kawasan kampus termasuk di lereng bukit.

Menurutnya, aktiviti berkenaan memberi peluang kepada mereka untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti penghijauan kampus dan pemeliharaan alam sekitar yang perlu diwarisi untuk generasi muda.

Katanya, program yang diadakan turut dapat memperkukuh komitmen institusi terhadap kelestarian alam sekitar melalui penglibatan aktif golongan penuntut serta kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan.

“Usaha penghijauan ini diharap dapat terus kekal  sebagai warisan hijau Polisas yang kini menjangkau usia 50 tahun untuk generasi akan datang.

“Rata-rata penuntut yang menyertai program ini begitu teruja berpeluang menanam pokok pelbagai spesies, pengalaman yang begitu berharga dan menjadi kenangan tidak mungkin dilupakan,” katanya.

Majlis perasmian program itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang, Zakaria Ahmad@Mohd dan Penolong Pengarah Silvikultur Zon Pahang Tengah, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Wan Zaizielawany Wan Muhamad Zin.

Program mendapat kerjasama Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Jabatan Pertanian Negeri Pahang.

Sementara itu, Wan Zaizielawany berkata, pihaknya menyumbang sebanyak 82 anak pokok nadir dan pokok hutan pelbagai spesies seperti Keladan, Merawan Siput Jantan, Merawan Penak, Keruing Neram dan Meranti Sarang Punai.

“Pada program ini kita turut membawa bersama kakitangan yang bertanggungjawab membantu kerja menanam pokok di kawasan yang telah disediakan pihak penganjur.

“Jabatan akan terus membantu pihak yang berminat untuk mengadakan program menanam pokok sebagai usaha menghijau kawasan lapang,” katanya.

IMedikel TV  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here