Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Syarikat rakaman Universal Music Malaysia menurunkan video muzik terbaharu kumpulan Dolla daripada semua platform digital yang dianggap tidak sesuai serta menimbulkan sensitiviti dalam kalangan penonton.
Universal Music Malaysia dalam kenyataan semalam memaklumkan penurunan video muzik tersebut adalah sebagai langkah bertanggungjawab serta demi menjaga sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.
la termasuk kenyataan terbaharu daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, berkata keputusan ini dibuat selepas melakukan penelitian semula terhadap keseluruhan kandungan produksi dan maklum balas masyarakat.
“Sebagai sebuah syarikat rakaman yang beroperasi dalam ekosistem majmuk seperti Malaysia, kami sentiasa menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan peminat. Kami mengambil serius semua maklum balas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kekhilafan yang berlaku.
“Kami percaya bahawa kreativiti dan ekspresi seni perlu seiring dengan kepekaan terhadap norma setempat. Oleh itu, keputusan untuk menurunkan video muzik tersebut adalah langkah yang wajar demi menjaga keharmonian dan rasa hormat semua pihak,” katanya dalam kenyataan.
Universal Music Malaysia juga menegaskan bahawa pihaknya komited memastikan setiap perancangan kreatif selepas ini melalui proses semakan yang lebih ketat, melibatkan perbincangan dalaman serta konsultasi profesional bagi mengelakkan isu sebegini berulang.
Pihak syarikat turut mengucapkan terima kasih kepada semua peminat dan masyarakat yang memberikan maklum balas secara terbuka dan membina, serta berharap perkara ini dapat ditangani dengan baik tanpa menjejaskan hubungan antara artis, peminat dan komuniti muzik Malaysia secara keseluruhan.
Baru-baru ini, penampilan kumpulan Dolla menerusi satu video muzik terbaharu berjudul Question mendapat perhatian ramai dengan ada sebahagian masyarakat menyifatkan ia keterlaluan terutama gaya fesyen seksi dan mencolok mata.
Kontroversi itu mendapat perhatian pendakwah selebriti, Asma’ Harun yang memberi teguran terbuka dan berpandangan penampilan Dolla dalam video muzik tersebut sebagai keterlaluan dan melampau.
Selain itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut memberi komen ketika ditanya pihak media berkenaan isu terbabit.
Beliau dilapor sedang meneliti untuk mengenakan tindakan jenayah syariah kepada selebriti beragama Islam yang berpakaian mencolok mata.
Mohd Na’im dilapor berkata, beliau sedang dalam penelitian berhubung perkara itu termasuk mengarahkan semakan semula terhadap garis panduan pemakaian selebriti beragama Islam.
IMedikel TV






