Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
PEKAN: Sebanyak 220 pokok rhu pantai ditanam sempena Program Pemuliharaan Pesisiran Pantai di Pantai Saujana Biru, dekat sini, semalam.
Seramai 120 peserta termasuk 40 warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang terdiri daripada staf pelbagai jabatan.
Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian UMPSA, Dr. Suhaidah Hussain berkata, UMPSA sentiasa menyokong usaha yang digerakkan oleh jabatan dan agensi kerajaan dalam memelihara alam sekitar.

“Program seperti ini bukan sahaja menyemai rasa cinta terhadap alam semula jadi, malah menjadi platform terbaik untuk mengukuhkan jaringan kerjasama antara universiti dengan rakan-rakan strategik.
“Saya mengucapkan terima kasih dan bersyukur atas komitmen 40 warga UMPSA yang hadir menyertai program berkenaan dan berharap lebih ramai warga universiti akan terus menyokong inisiatif kelestarian pada masa hadapan,” katanya.
Katanya antara lain tujuan program itu diadakan bagi mengindahkan kawasan perkelahan dan hentian rehat itu.
Peserta, Shalfarina Shahriman berkata, pada program itu dia berpeluang menanam sebanyak 10 pokok rhu, pengalaman kali pertama begitu bermakna yang akan menjadi kenangan sampai bila-bila.
“Cuaca panas tidak menjejaskan aktiviti menanam pokok yang diharap membesar dan menjadi hiasan di kawasan rehat itu,” katanya yang bertugas dengan UMPSA.
Program tersebut anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dengan kerjasama UMPSA, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta beberapa agensi kerajaan.
IMedikel TV






