Home Buletin Semasa ISU GAJAH TULAR: PERHILITAN TEGAS SEMUA PROSEDUR DIPATUHI

ISU GAJAH TULAR: PERHILITAN TEGAS SEMUA PROSEDUR DIPATUHI

35
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia menegaskan penggunaan dua ekor gajah, Sanum dan Mekna, dalam perarakan Program Komuniti MADANI di Kampung Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini sudah dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Penjelasan itu dibuat susulan video tular di media sosial yang memaparkan penggunaan gajah dalam program berkenaan sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dan kebimbangan orang ramai berkaitan aspek kebajikan haiwan tersebut.

Ketua Pengarah PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya sudah menerima permohonan pameran gajah dan hidupan liar sempena Program Komuniti MADANI daripada Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan pada 25 Mei lalu.

“Permohonan itu kemudiannya diteliti dan diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Permohonan Permit Khas yang bersidang pada 16 Jun lalu berdasarkan SOP Pengendalian Program Perarakan Gajah yang berkuat kuasa sejak 31 Disember 2016.

“Jabatan PERHILITAN sudah melaksanakan pemeriksaan kesihatan serta penentuan gajah yang akan dibawa ke program berkenaan selaras dengan SOP yang ditetapkan.

“Penilaian kebajikan gajah turut dijalankan sebelum, semasa dan selepas program, termasuk sepanjang proses pengangkutan, penyediaan dan penggunaan haiwan tersebut dalam majlis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Bagaimanapun, beliau berkata, PERHILITAN mengambil serius serta menghargai maklum balas yang diberikan oleh masyarakat sivil dan rakyat Malaysia berhubung isu kebajikan gajah yang dibangkitkan.

Sehubungan itu, katanya, satu Pasukan Petugas Khas akan ditubuhkan bagi mengkaji serta menambah baik undang-undang, SOP dan prosedur sedia ada dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Selain itu, PERHILITAN turut akan mendapatkan pandangan dan bantuan daripada Unit Integriti Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Bahagian Penyiasatan Tatakelola, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperkemaskan SOP dan prosedur berkaitan secara menyeluruh.

“Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan dalam perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar negara, PERHILITAN kekal komited memelihara khazanah hidupan liar serta melaksanakan penambahbaikan berterusan berdasarkan pandangan dan maklum balas masyarakat,”katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Sebarang aduan berkaitan hidupan liar boleh disalurkan melalui talian hotline PERHILITAN di 1-800-88-5151 atau menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang rasmi PERHILITAN.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here