LAHORE: Seramai 14 kanak-kanak maut selepas bumbung sebuah pusat tuisyen runtuh di bandar Lahore, timur Pakistan pada Selasa, sekali gus mendorong pihak berkuasa membuka siasatan berhubung kemungkinan berlaku kecuaian.
Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, perkhidmatan kecemasan wilayah Punjab berkata pasukan penyelamat menemui mangsa kanak-kanak bersama seorang guru wanita berusia 30 tahun yang tertimbus di bawah runtuhan pusat tuisyen persendirian itu.
Mangsa yang maut berusia antara lima hingga 16 tahun dengan kebanyakannya berumur bawah sembilan tahun.
Menteri Penerangan Punjab, Azma Bokhari, berkata siasatan awal mendapati pusat tuisyen berkenaan tidak berdaftar dan beroperasi di dalam sebuah rumah persendirian yang mempunyai struktur bumbung uzur.
Katanya, pusat tuisyen seperti itu biasa ditemui di Pakistan kerana ramai kanak-kanak menghadiri kelas tambahan di luar waktu persekolahan.
“Jika siasatan mendapati berlaku kecuaian, kelalaian atau pelanggaran undang-undang, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kerajaan Punjab turut mengarahkan pemeriksaan terhadap bangunan yang tidak selamat menjelang musim tengkujuh, selain memperketatkan peraturan ke atas pusat tuisyen tidak berdaftar serta institusi pendidikan swasta.
Sementara itu, Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari, menzahirkan rasa dukacita terhadap tragedi berkenaan dan menggesa langkah keselamatan lebih berkesan dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian sama berulang. — REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






