KUALA LUMPUR: Pelakon, Umie Aida, 51, yang juga rakan usrah kepada beberapa aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) seperti Datin Seri Heliza Helmi, Hazwani Helmi dan Zizi Kirana, mengakui tidak senang duduk memikirkan keselamatan mereka sepanjang misi kemanusiaan itu berlangsung.
Memetik laporan Berita Harian, Umie atau nama sebenarnya, Umi Khalsum Rahmad Ali, berkata dia tidak pernah putus berdoa agar rakan-rakannya serta semua aktivis yang terbabit sentiasa dilindungi daripada bahaya.
“Saya tak boleh tidur mengenangkan keselamatan mereka kerana kita tahu rejim Zionis tidak pernah mengenal belas kasihan.
“Mereka melayan aktivis ini seperti penjenayah, sedangkan hakikatnya yang membawa senjata dan menindas adalah mereka sendiri. Aktivis kita langsung tidak bersenjata, mereka hanya membawa bantuan makanan,” katanya kepada BH Online.
Justeru, Umie meminta rakyat Malaysia agar terus mendoakan keselamatan semua sukarelawan yang kini berada di lapangan demi memperjuangkan kebebasan Palestin.
“Doa kita jangan pernah putus. Semoga mereka terus diberi kekuatan sehingga Palestin benar-benar bebas,” katanya.
Sementara itu, Umie memaklumkan, dia tidak akan menyambut kepulangan rakan delegasi GSF yang dilaporkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini.
Sebaliknya, pelakon Embun itu memilih untuk meraikan mereka menerusi majlis ilmu, sebagai tanda syukur dan cara lebih bermakna untuk berkumpul kembali.
“Kalau mereka tiba di KLIA, biarlah keluarga yang menyambut. Pada saya, momen itu lebih bermakna untuk mereka.
“Selepas dua hari, barulah kami, rakan-rakan, akan meraikan kepulangan mereka dalam satu majlis ilmu khusus.
Saya mengenali mereka melalui majlis ilmu, dan sebab itu saya mahu sambut mereka dengan cara yang sama. Saya tahu, itulah kebahagiaan sebenar mereka,” katanya.
Terdahulu, seramai 23 sukarelawan misi kemanusiaan GSF dilaporkan selamat dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis sebelum diterbangkan ke Istanbul, Turkiye, menggunakan pesawat khas.
Di sana, mereka menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dijadualkan pulang ke tanah air hari ini. – BH Online –
IMedikel TV






