Home Luar Negara UK TUMPU SEKTOR PENGHANTARAN MAKANAN DAN CUCI KERETA DALAM OPERASI BANTERAS KERJA...

UK TUMPU SEKTOR PENGHANTARAN MAKANAN DAN CUCI KERETA DALAM OPERASI BANTERAS KERJA HARAM

271
0

LONDON: Britain mengumumkan peningkatan sebanyak 63 peratus dalam jumlah tangkapan berkaitan kerja haram tahun ini berbanding tahun lalu, hasil operasi bersepadu yang menyasarkan sektor penghantaran makanan, salun kecantikan dan cucian kereta, sebagai sebahagian usaha mengekang kemasukan pendatang tanpa izin.

Memetik laporan REUTERS menerusi Berita Harian Kerajaan Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri Keir Starmer kini berdepan kemerosotan sokongan sejak mengambil alih pentadbiran tahun lalu, sebahagiannya disebabkan kebimbangan awam terhadap isu imigresen.

Di bawah tekanan daripada parti populis Reform UK, kerajaan berikrar untuk mengurangkan jumlah migran yang memasuki negara itu secara haram.

Menteri Dalam Negeri, Shabana Mahmood, dalam satu kenyataan berkata, pekerjaan haram memberi dorongan kepada individu untuk cuba masuk ke negara ini secara tidak sah.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, Bahagian Penguatkuasaan Imigresen menahan lebih 8,000 pendatang tanpa izin sepanjang tempoh 12 bulan hingga September lalu dengan peningkatan 63 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, lebih 1,050 warga asing sudah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Tinjauan pendapat menunjukkan isu imigresen kekal sebagai antara kebimbangan utama pengundi Britain selepas kos sara hidup, dengan siri tindakan keras kerajaan terhadap kerja haram menjadi sebahagian strategi lebih luas untuk membendung migrasi tidak sah.

September lalu, Starmer turut mengumumkan langkah baharu yang mewajibkan semua pekerja memiliki kad identiti digital bagi tujuan pengesahan status pekerjaan.

Bagaimanapun, beberapa kumpulan hak asasi menyuarakan kebimbangan terhadap pendekatan keras kerajaan dalam isu imigresen, dengan amaran bahawa ia boleh menyemarakkan sentimen kebencian terhadap pendatang serta warga tempatan berbilang kaum.

Syarikat penghantaran makanan termasuk Deliveroo, Just Eat dan Uber Eats sejak 2023 bersetuju melaksanakan kawalan lebih ketat bagi menamatkan amalan perkongsian akaun tanpa pengawasan oleh penghantar mereka, susulan kebimbangan mengenai penggunaan pekerja haram dan bawah umur.

Julai lalu, kerajaan memeterai perjanjian baharu dengan ketiga-tiga syarikat itu, yang turut bersetuju untuk berkongsi data bagi membantu mengenal pasti pemohon suaka yang bekerja secara haram. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here