Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Seorang lelaki berusia 44 tahun cedera parah selepas ditetak bapa saudara angkat di Kampung Kulim, di sini, kira-kira jam 6.30 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, mangsa dipercayai diserang dan ditetak dengan sebilah parang oleh suspek berusia 55 tahun sehingga cedera di tangan kanan dan kepala.
“Motif serangan dipercayai akibat dendam lama.
“Sebelumnya suspek dipercayai pergi ke rumah mangsa dan menetak mangsa beberapa kali,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, suspek terbabit merupakan adik beradik angkat ibu mangsa dan tinggal berhampiran rumah mangsa.
“Siasatan yang dijalankan mendapati punca kejadian akibat perselisihan faham yang sudah lama berlaku,” katanya.
Zaizul berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian menerusi panggilan kecemasan 999 daripada orang awam.
Katanya, suspek sempat bertindak melarikan diri apabila pihak polis tiba di lokasi dan ditahan di rumah suspek tidak lama selepas kejadian.
“Mangsa sudah di bawa ke Hospital Tengku Anis untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 dan Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata.
IMedikel TV






