Home Sukan PERLU YAKIN MAMPU JUARAI LIGA – ARTETA

PERLU YAKIN MAMPU JUARAI LIGA – ARTETA

219
0

LONDON: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta menggesa penyokong The Gunners supaya mula percaya bahawa pasukan mereka mampu menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Arsenal kini berada di puncak liga dengan kelebihan empat mata, enam mata di depan Manchester City dan tujuh mata mengatasi juara bertahan Liverpool.

Penganalisis Sky Sports, Gary Neville turut menyifatkan saingan kali ini sebagai “milik Arsenal”. The Gunners kali terakhir menjuarai liga pada musim 2003-04 ketika era ‘The Invincibles’.

Musim ini, pasukan kendalian Arteta mendapat pujian kerana kekuatan mereka menerusi situasi bola mati.

Menjelang aksi pusingan 16 terakhir Piala Liga menentang Brighton di Emirates, Arteta berkata keyakinan penyokong kini sejajar dengan prestasi konsisten yang dipamerkan pasukan.

“Apabila penyokong teruja dan melihat pasukan bermain pada tahap tinggi secara konsisten, itulah sebab untuk percaya. Kami mahu menang trofi besar dan perasaan itu perlu ditanam dalam pasukan, kelab serta penyokong.

“Kami berada di kedudukan baik ketika ini, namun kami tahu saingan masih panjang dan setiap perlawanan sukar,” kata Arteta.

Gol kemenangan Eberechi Eze menentang bekas kelabnya, Crystal Palace, hasil sepakan percuma Declan Rice, menjadi jaringan ke-11 Arsenal daripada situasi bola mati dalam semua kejohanan musim ini.

Bagaimanapun, ada pihak mengkritik Arsenal kerana terlalu bergantung kepada sepakan bola mati, walaupun kini semakin banyak pasukan lain meniru pendekatan berkenaan.

“Banyak perkara yang kami lakukan pasti diperhatikan pasukan lain. Kami juga mencontohi pasukan terbaik Eropah.

“Jika sesuatu perkara boleh membantu kami memenangi lebih banyak perlawanan, kami akan sambut baik. Itulah lumrah manusia,” katanya.

Arsenal berdepan masalah kecederaan dengan pertahanan tengah, William Saliba, diketepikan akibat kecederaan buku lali ketika menentang Palace.

Penyerang Gabriel Martinelli bakal direhatkan, manakala Bukayo Saka dijangka cergas untuk diturunkan selepas pulih daripada sakit.

Sementara itu, pengendali Brighton, Fabian Hurzeler menegaskan pasukannya sudah bersedia menghadapi ancaman set-piece Arsenal.

“Anda dapat lihat hasil kerja keras mereka. Ia semakin penting dalam Liga Perdana dan kami perlu bersedia,” kata Hurzeler. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here