MUNICH: Bayern Munich muncul kelab paling berat dikenakan hukuman dalam tindakan disiplin terbaharu UEFA yang diumumkan awal pagi tadi, apabila didenda keseluruhan €116,000 ( RM556,800) serta dikenakan penutupan sebahagian stadium bagi perlawanan Liga Juara-Juara Eropah di laman sendiri.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, Bayern didakwa atas kesalahan menghalang laluan awam dan menyalakan bunga api semasa perlawanan menentang Sporting awal bulan ini.
UEFA mengarahkan penguatkuasaan hukuman yang sebelum ini digantung, menyebabkan sektor 111 hingga 114 di Allianz Arena ditutup sebahagiannya bagi perlawanan Eropah di laman sendiri menentang Union Saint-Gilloise pada 21 Januari.
Selain itu, Bayern turut dikenakan satu lagi hukuman penutupan sebahagian stadium melibatkan keseluruhan South Tribune bagi perlawanan berikutnya, namun hukuman tambahan itu digantung sepanjang tempoh percubaan selama dua tahun.
Denda tambahan turut dikenakan susulan kekalahan Bayern di tempat lawan kepada Arsenal bulan lalu.
UEFA mendenda kelab Jerman itu sebanyak €40,000 (RM192,000) atas kesalahan gangguan penonton dan membaling objek serta €30,000 (RM144,000) kerana ‘menyampaikan mesej yang tidak sesuai untuk acara sukan’.
Sementara itu, Badan Kawalan, Etika dan Disiplin UEFA turut menguatkuasakan hukuman yang sebelum ini digantung ke atas Eintracht Frankfurt, dengan melarang kelab Jerman itu menjual tiket kepada penyokong tempat lawan bagi perlawanan seterusnya.
Frankfurt didakwa selepas penyokong mereka membaling objek, menyalakan bunga api dan menyebabkan kerosakan di Stadium Camp Nou ketika tewas 2-1 kepada Barcelona minggu lalu. Mereka dijadualkan beraksi di tempat lawan menentang kelab Azerbaijan, Qarabag.
Frankfurt didenda keseluruhan €38,000 (RM182,400) dan turut diberikan tempoh 30 hari untuk menghubungi Barcelona bagi tujuan penyelesaian kos kerosakan yang disebabkan oleh penyokong mereka di tandas sektor pelawat.
Sporting turut didenda €40,000 (RM191,000) serta dikenakan larangan penjualan tiket tempat lawan, manakala Lille menerima denda €10,000 (RM47,000) dan larangan tiket yang digantung susulan kesalahan bunga api dalam perlawanan Liga Europa menentang Young Boys.-Reuters, HMetro Online-
IMedikel TV






