QUITO: Pemain bola sepak Ecuador, Mario Pineida maut selepas ditembak dalam satu kejadian di bandar pelabuhan Guayaquil, menurut kenyataan kelabnya, awal pagi tadi.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Guayaquil kini menjadi pusat keganasan berkaitan perdagangan dadah, dan beberapa pemain bola sepak di Ecuador menjadi sasaran dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Pineida, 33, pernah mewakili pasukan kebangsaan Ecuador dalam Piala Dunia 2018 dan 2022. Dia juga pernah beraksi untuk Fluminense pada 2022.
Dalam satu hantaran di X, kelabnya, Barcelona SC berkata, ia “berat hati untuk memaklumkan berita dukacita bahawa kami telah dimaklumkan secara rasmi mengenai kematian pemain kami, Mario Pineida yang berlaku susulan serangan terhadapnya” di Guayaquil.
Kematian Pineida disahkan oleh Kementerian Dalam Negeri yang berkata unit polis khas telah ditugaskan untuk kes ini.
Laman berita digital Primicias melaporkan Pineida diserang oleh dua individu menunggang motosikal yang menembak beliau, ibunya dan seorang wanita lain.
Pada September lalu, tiga pemain dari divisyen kedua Ecuador dibunuh dengan salah seorang daripada mereka didakwa mempunyai kaitan dengan pertaruhan sukan. Sebulan kemudian, pemain tempatan Bryan Angula cedera dalam satu tembakan.
Ecuador yang pernah dianggap salah satu negara paling selamat di Amerika Latin, kini menjadi hab transit kokain utama antara pengeluar utama, Colombia dan Peru dan pasaran pengguna seluruh dunia.
Letupan bom kereta, tembakan dan pemerasan semakin meningkat di Guayaquil yang merekodkan 1,900 kes pembunuhan antara Januari hingga September sekali gus kadar tertinggi di Ecuador.-AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






