Home Buletin Semasa KELANTAN NEGERI PERTAMA LAKSANA PJR MONSUN

KELANTAN NEGERI PERTAMA LAKSANA PJR MONSUN

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

TUMPAT: Kelantan adalah negeri pertama yang melaksanakan Program Jualan Rahmah Monsun (PJRM) dengan peruntukan sebanyak RM300,000.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, program itu akan diadakan sebanyak enam kali sebagai langkah kesiapsiagaan dan intervensi segera negeri ini bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat yang terjejas akibat banjir.

”PJRM ini dimulakan di negeri ini dan ini adalah inisiatif KPDN negeri itu sendiri, dan bagi negeri lain yang juga terbabit bencana, juga dialu-alukan untuk mengambil insiatif yang sama.

”Melalui PJRM ini, kita menawarkan barangan keperluan asas pada harga mampu milik dengan penjimatan sehingga 30 peratus berbanding harga pasaran khususnya kepada penduduk sekitar yang terkesan akibat banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Walkabout PJRM, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail pada program berkenaan.

Dalam majlis sama, beliau turut menyantuni seramai 30 asnaf sekaligus memberi sumbangan barangan keperluan asas termasuk selimut bagi kegunaan sepanjang musim tengkujuh.

Dalam pada itu beliau berkata KPDN turut mengadakan PJR Kembali Ke Sekolah sehingga 10 Januari depan.

”Program ini memberi peluang kepada ibu bapa untuk membuat persiapan persekolahan anak termasuk membeli pakaian, kasut dengan harga jualan rahmah.

”KPDN kelantan juga mengadakan PJRM kembali ke sekolah di 43 premis dan juga secara bergerak di PJRM Bergerak terpilih,” katanya.

Tambah beliau, PJR Musim Perayaan sempena sambutan Hari Krismas juga akan diadakan di 32 pasar raya.

”Berdasarkan statistik sehingga 30 November lalu, lebih 24 juta rakyat telah menerima manfaat daripada pelaksanaan jualan rahmah ini,” katanya.


IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here