Home Hiburan TYKA BAWA IRAMA LEBIH SEGAR DALAM BERSERI DI HARI RAYA

TYKA BAWA IRAMA LEBIH SEGAR DALAM BERSERI DI HARI RAYA

Penyanyi Tyka Zatyka terus membuktikan konsistensinya apabila muncul dengan lagu raya terbaharu berjudul Berseri Di Hari Raya.

Sejak 2024, bekas Naib Juara Bintang Klasik RTM 2016 ini tidak pernah gagal menghasilkan lagu dengan tema raya setiap tahun sebagai hadiah buat peminat setia yang menyokong kerjaya seninya.

Memetik laporan Harian Metro, Vokalis Johor Royal Band yang juga bekas peserta 3 JUARA TV3 dan Top 4 D’Academy Asia 4 (DAA 4) ini menyifatkan single ketiganya itu membawakan irama yang lebih segar, moden dan selari dengan trend muzik masa kini.

“Lagu yang indah dan ‘catchy’ ini adalah kombinasi menarik antara melodi, lirik serta vokal, malah diselitkan elemen acapella di bahagian korus terakhir,” katanya yang kini melanjutkan pengajian dalam ijazah bidang psikologi.

Lagu ciptaan dan terbitan Chevy Amry daripada syarikat C.A.P (Chevy Amry Production) itu turut mendapat sentuhan istimewa Azlan Abu Hassan bagi urusan vokal latar dan adunan.

Lebih membanggakan, lagu ini turut dipilih menjadi lagu tema (OST) bagi telemovie raya terbaharu bertajuk Menantu Pujaan, selain disenaraikan dalam ‘playlist’ Made In Malaysia di platform Spotify.

Muzik videonya pula menampilkan sisi estetika tradisional apabila dirakamkan di Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama penari Seri Klasik Entertainment.

Hasil sentuhan bakat muda, Iman Azfar dan Alani Azfar yang juga anak pengarah, Ikhzal Azfarel Ideris.

Selain Tyka, muzik video lagu baharu turut menampilkan penyanyi, Elveena Iris dan pelakon, Khairul Rizal dengan sokongan tajaan daripada Veena Resources yang mempromosikan produk Sambal Cili Garam.

Tyka berharap lagu berkenaan diterima baik oleh pendengar bukan sahaja di Malaysia, malah hingga ke Brunei, Singapura dan Indonesia.

Bagi menyemarakkan lagi promosi, Tyka turut melancarkan Raya Dance Challenge menerusi tanda pagar #BerseriDiHariRayaChallenge di media sosial untuk mengajak peminat berinteraksi secara kreatif. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here