Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Lebih 500 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ditempatkan dalam Op Prihatin bagi melaksanakan rondaan untuk memastikan keselamatan serta kebajikan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan.
Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi APM, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Mohd Adzhar Mujab berkata, anggota itu ditugaskan di Zon Timur membabitkan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Bagi Zon Timur yang merangkumi Kelantan, Pahang dan Terengganu, sebanyak 108 aset operasi digerakkan termasuk kenderaan pacuan empat roda (4×4), ambulans dan motosikal bagi menyokong rondaan dan bantuan kecemasan.
“Rondaan akan dilaksanakan di jalan Persekutuan, jalan negeri serta lokasi tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah, rumah ibadah dan kawasan rekreasi,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata antara fokus utama operasi adalah membantu pengguna jalan raya yang mengalami kecemasan, mengendalikan kes kemalangan serta menyampaikan nasihat dan pendidikan keselamatan kepada masyarakat.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan APM dalam memperkukuh peranan kemanusiaan serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sepanjang musim perayaan Aidilfitri,”jelasnya.
Katanya Op Prihatin Aidilfitri 2026 akan dilaksanakan bermula esok hingga 29 Mac depan secara serentak di seluruh negara.
IMedikel TV






