Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini bagi meringankan kos perjalanan rakyat pulang ke kampung halaman, menurut pengumuman daripada Kementerian Kerja Raya (KKR).
Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan semalam memaklumkan pengumuman itu selaras dengan komitmen Kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan dalam kerangka Malaysia MADANI, selain memudahkan pergerakan pengguna lebuh raya yang lazimnya meningkat pada musim perayaan.
“Diskaun tol ini membabitkan implikasi kewangan berjumlah anggaran RM21.03 juta, yang dibayar sebagai pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat.
“Pelaksanaan diskaun akan bermula pada jam 12.01 tengah malam semalam, dan berakhir pada jam 11.59 malam, esok,”menurut kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu ia diberikan khusus untuk kenderaan persendirian Kelas 1 (Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua lebuh raya kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
KKR menekankan bahawa tarikh pelaksanaan dipilih bagi mengelakkan penumpuan trafik selain mengoptimumkan operasi serta penyelarasan logistik tambahan di sepanjang hentian sebelah dan kawasan Rehat dan Rawat (RSA).
“Pengguna lebuh raya disarankan merancang perjalanan lebih awal untuk mengelak kesesakan. Mereka juga digalakkan memuat turun aplikasi TuJu Navigasi Lebuh Raya LLM dan MyPLUS-TTA untuk mendapatkan cadangan jadual perjalanan serta meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pemanduan,”menurut kenyataan itu.
Selain itu, orang ramai diingatkan supaya mematuhi papan tanda, had laju, serta memberi perhatian kepada maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS) sepanjang perjalanan.
IMedikel TV






