Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Kerajaan kekal komited untuk memperkasa sektor komoditi getah negara melalui pendekatan yang lebih strategik, bersepadu dan berimpak tinggi, demi memastikan kemampanan ekosistem pembangunan negara khususnya yang melibatkan komuniti pekebun kecil.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan semalam memaklumkan selaras dengan aspirasi tersebut, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan terus memperkukuh peranan sebagai Pembeli Getah Utama (anchor buyer).
“Ini sekali gus meningkatkan purata harga belian oleh RISDA Plantation Sdn. Bhd. (RPSB) daripada sekitar RM3.00 kepada RM3.70 sekilogram.
“Sebelum ini, harga getah di peringkat ladang hanya sekitar RM3.00 sekilogram, menyebabkan pekebun kecil berkeluasan satu hektar hanya memperoleh kira-kira RM750 sebulan,”katanya.
Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan melalui Program Pengeluaran Getah dengan pelantikan RISDA Plantation Sdn. Bhd. (RPSB) sebagai agen pelaksana bagi pembelian getah secara runcit dan berkelompok. Langkah ini berlandaskan peruntukan di bawah Akta RISDA 1972 (Akta 85) yang memberi ruang kepada RISDA memainkan peranan lebih aktif dalam rantaian perdagangan getah negara.
“Dalam tempoh pelaksanaan aktif sejak awal Januari tahun ini, RISDA telah berjaya membeli dan mengumpul sebanyak 1,197.77 tan metrik getah pekebun kecil dengan nilai belian terkumpul RM3.79 juta setakat Februari.
“Ini membuktikan bahawa dasar yang tepat mampu mengembalikan keyakinan pekebun kecil untuk kembali aktif mengusahakan kebun mereka,”katanya.
Beliau berkata inisiatif itu dijangka memberi impak signifikan kepada negara.
“Pengeluaran getah domestik berpotensi meningkat sehingga 75 peratus, dengan sasaran kutipan 300,000 tan metrik pada tahun 2026, sekali gus menyumbang sekitar 29 peratus kepada keperluan domestik.
“Langkah ini amat penting bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import getah asli yang dianggarkan bernilai RM7.6 bilion pada tahun 2024,”katanya.
Inisiatif RISDA sebagai Pembeli Getah Utama merupakan langkah strategik untuk mengangkat semula martabat industri getah negara, memperkukuh rantaian bekalan tempatan, meningkatkan pendapatan rakyat desa, serta memastikan masa depan sektor komoditi ini kekal berdaya saing.
Kerajaan akan terus memastikan agenda memakmurkan lebih 508,000 pekebun kecil di seluruh negara dapat direalisasikan secara menyeluruh, selaras dengan semangat Aspirasi Desa MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, kemampanan ekonomi dan pembangunan yang saksama.
IMedikel TV






