Home Buletin Semasa REMAJA LELAKI MAUT KEMALANGAN BABIT DUA KENDERAAN

REMAJA LELAKI MAUT KEMALANGAN BABIT DUA KENDERAAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TANAH MERAH: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut, manakala seorang lagi cedera parah dalam satu kemalangan membabitkan motosikal dan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Ismail Petra, di hadapan kedai Sh Ang Auto Parts, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.45 pagi apabila sebuah kenderaan Ford Ranger 2.0L Bi-Turbo datang dari arah bandar Tanah Merah dipercayai cuba memotong kenderaan lain di hadapannya dengan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal jenis Yamaha 135LC yang berada di laluan yang sah.

“Penunggang motosikal, Muhamad Fahmi Yusri, 17 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

“Manakala pembonceng motosikal, Muhammad Hafiz Osnie, 17 tahun, mengalami kecederaan pada tangan, kaki kanan, pinggang dan muka dan kini sedang menerima rawatan,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau pemandu kenderaan pacuan empat roda masih belum dikenal pasti dan dipercayai telah melarikan diri dari lokasi kejadian.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan pacuan empat roda yang memotong secara berbahaya sehingga memasuki laluan bertentangan,”katanya.

Beliau berkata jenazah Muhamad Fahmi dihantar ke Unit Forensik Hospital Tanah Merah untuk proses bedah siasat. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here