Home Sukan TORRES HADIAHKAN GOL KEMENANGAN BUAT 47 JUTA RAKYAT SEPANYOL

TORRES HADIAHKAN GOL KEMENANGAN BUAT 47 JUTA RAKYAT SEPANYOL

EAST RUTHERFORD: Wira Sepanyol, Ferran Torres menyifatkan gol kemenangan yang menghadiahkan kejuaraan Piala Dunia 2026 bukan miliknya semata-mata, sebaliknya milik seluruh rakyat Sepanyol.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, penyerang Barcelona itu muncul wira apabila menjaringkan gol pada separuh masa kedua masa tambahan untuk memastikan kemenangan 1-0 ke atas Argentina yang beraksi dengan 10 pemain di Stadium MetLife.

“Gol ini milik 47 juta rakyat, bukan hanya saya atau 26 pemain dalam skuad ini,” kata Torres merujuk kepada jumlah penduduk Sepanyol.

“Ia seolah-olah sudah ditakdirkan kami akan muncul juara jauh dari tanah air, namun kami berharap dapat membuatkan seluruh rakyat Sepanyol merasakan mereka sentiasa bersama kami.

“Perasaan ini cukup melegakan. Saya menerima banyak kritikan sepanjang Piala Dunia, namun takdir sudah tertulis. Syukur kepada Tuhan kerana sentiasa memberikan saya kekuatan untuk terus berjuang,” katanya selepas dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan walaupun hanya diturunkan sebagai pemain gantian. 

Torres turut mengakui bukan mudah buat Sepanyol untuk meraih gelaran dunia kedua selepas kejayaan pertama pada edisi 2010.

“Setiap perlawanan akhir memang sukar. Apabila berdepan Lionel Messi, sudah tentu ada sedikit perasaan gementar, tetapi kami sentiasa percaya kepada corak permainan sendiri dan yakin dengan kemampuan pasukan,” katanya. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here