Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Usaha memperkasakan kesejahteraan warga emas terus diperkukuh apabila Jabatan Perubatan Keluarga, Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan Program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin Madani: Harmoni Warga Emas Fasa II di Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, baru-baru ini.
Program yang diketuai Pengarah Projek, Profesor Madya Dr. Siti Suhaila Mohd. Yusoff dan Dr. Amalina Yusof @ Abdullah Saari itu dilaksanakan dengan kerjasama Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Krai serta Persatuan Perubatan Keluarga USM Malaysia (FAMOUS).
Dr Siti Suhaila berkata inisiatif berkenaan adalah kesinambungan kepada program saringan kesihatan dan lawatan susulan yang telah dijalankan sebelum ini selepas sebahagian warga emas dikenal pasti berisiko mengalami sarcopenia iaitu penyusutan jisim dan kekuatan otot, selain berdepan risiko tinggi untuk terjatuh.

“Fasa II memberi fokus kepada intervensi praktikal bagi meningkatkan kekuatan otot, mengekalkan fungsi fizikal serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selamat untuk warga emas.
“Program ini turut membabitkan pelajar Sarjana Perubatan Keluarga Tahun 3 USM yang berpeluang mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran dalam penjagaan geriatrik berasaskan komuniti, di samping memupuk nilai empati, semangat kerja berpasukan serta tanggungjawab sosial,”katanya.
Katanya antara pengisian utama ialah pemasangan tikar anti-gelincir di kediaman warga emas yang dikenal pasti berisiko tinggi untuk terjatuh, khususnya di kawasan bilik air dan permukaan lantai yang licin.
“Langkah itu bukan sahaja membantu mengurangkan risiko kemalangan, malah meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan aspek keselamatan di dalam rumah.
“Bagi mengurangkan risiko sarcopenia, peserta turut mengikuti sesi senaman penguatan otot menggunakan theraband atau resistance band dengan bimbingan tenaga pengajar. Setiap peserta turut menerima theraband bagi membolehkan latihan diteruskan secara kendiri selepas program berakhir,”katanya.
Selain aktiviti fizikal, beliau berkata warga emas turut didedahkan dengan amalan pemakanan sihat menerusi demonstrasi penyediaan minuman chai tea serta sandwic telur sebagai pilihan hidangan yang ringkas, berkhasiat dan mudah disediakan bagi menyokong keperluan nutrisi harian.
Katanya penganjuran Program KPT Prihatin Madani: Harmoni Warga Emas Fasa II mencerminkan komitmen berterusan USM bersama rakan strategiknya dalam memperkasakan penjagaan geriatrik berasaskan komuniti.
“Kolaborasi itu diharap dapat diteruskan bagi membantu warga emas menjalani kehidupan yang lebih sihat, selamat, aktif dan berdikari selaras dengan aspirasi memperkukuh kesejahteraan masyarakat,”katanya.
IMedikel TV






