Home Sukan TNB CIPTA SEJARAH LAKAR KEJUARAAN TREBEL

TNB CIPTA SEJARAH LAKAR KEJUARAAN TREBEL

KUALA LUMPUR: Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencipta sejarah tersendiri apabila merangkul kejuaraan trebel sulung mereka selepas muncul juara Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Memetik laporan menerusi berita harian,Skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu menewaskan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 4-2 dalam perlawanan menarik sekali gus melengkapkan kabinet kejuaraan mereka musim ini selepas menjuarai Piala Sumbangsih dan juara Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024.

Dalam pertemuan final ketiga berturut-turut yang menemukan kedua-dua pasukan ini, THT terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit keenam menerusi penyerang berbisa mereka Faizal Saari.

Begitupun, TNB kembali menyamakan kedudukan selang 13 minit kemudian menerusi Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi sebelum Mohamad Akhimullah Anuar Esook kembali meletakkan THT di hadapan pada minit ke-21.

THT tidak berupaya menyekat kemaraan lawan apabila penyerang import TNB dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun kembali menyamakan kedudukan selang seminit kemudian hasil daripada pukulan sudut penalti.

TNB terus memberikan tekanan kepada lawan dan berhasil meledak gol ketiga mereka pada minit ke-33 menerusi Mughni Mohamad Kamal sebelum Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal memuktamadkan kemenangan TNB pada minit ke-36 menerusi jaringan padang.

“Final yang menarik kerana lawan memberikan saingan sengit pada dua suku perlawanan tetapi akhirnya mereka tak dapat menahan kemaraan TNB kerana pasukan bermain dengan baik sekali,” kata pengendali TNB, Nor Saiful Zaini ketika ditemui media selepas perlawanan.

“Kita mengikut struktur seperti yang dirancang. Memang kita ketinggalan dua kali tetapi ini perkara biasa dalam hoki. Apabila ketinggalan, kita perbetulkan kembali dan pemain dapat melakukannya dengan baik untuk kembali bangkit.”

Sebelum itu, Maybank menewaskan UiTM HA-KPT untuk mengakhiri saingan di tempat ketiga selepas menamatkan perlawanan yang diheret ke penentuan shoot-out dengan keputusan 2-1.

UiTM HA-KPT membuka tirai jaringan waktu sebenar perlawanan pada minit ke-39 menerusi hasil jaringan penalti strok yang disempurnakan Zul Pidaus Mizun namun Maybank bangkit untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-56 menerusi Muhajir Abdu Rauf.

Perlawanan kemudian diheret ke penentuan shoot-out dan jaringan Maybank masing-masing disempurnakan Muhamad Syawal Abd Razak dan Mohamad Ashran Hamsani. Gol UiTM HA-KPT pula dijaringkan Muhamad Muhibuddin Moharam.-BH ONLINE-

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here