Home Sukan TIADA PELUANG KALI KETIGA – FIB

TIADA PELUANG KALI KETIGA – FIB

339
0

KUALA LUMPUR: Mana-mana kelab yang gagal memenuhi syarat pelesenan kelab tidak akan diberi ‘peluang kali ketiga’ selepas tempoh permohonan Lesen Kebangsaan buat kali kedua ditutup secara rasmi pada Sabtu lalu.

Memetik laporan Harian Mtero, perkara itu dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif mengakui pihaknya kini dalam proses menyemak kesemua dokumen yang dihantar.

Katanya, beliau menerima sejumlah 387 dokumen dan ‘Entries’ berkaitan kriteria Kewangan, Perniagaan, Kakitangan & Pentadbiran, Perundangan, Sukan dan Infrastruktur bagi kelab Liga Super, manakala 98 dokumen dan ‘Entries’ oleh kelab Liga A-1 Semi-Pro.

“Unit kelab pelesenan MFL akan menyediakan laporan lengkap untuk diserahkan kepada FIB yang akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membuat keputusan mengenai permohonan Lesen Kebangsaan 2025-2026.

“Selepas selesai segala proses berkenaan, FIB akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keputusan permohonan Lesen Kebangsaan 2025-2026 memandangkan tiada lagi tempoh lanjutan masa akan diberikan kepada semua pasukan,” katanya.

Terdahulu, MFL melanjutkan tempoh permohonan Lesen Kebangsaan yang pada awalnya berakhir hujung bulan lalu sebelum secara tiba-tiba dilanjutkan hingga 10 Mei lalu, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa kelab yang sudah melengkapkan dokumen bulan lalu.

Antara yang menegur adalah pengurusan Penang FC yang mendesak agar lebih peka dan menghargai kelab-kelab yang sudah menunjukkan disiplin dan profesionalisme dengan mematuhi tarikh akhir tanpa gagal.

Penang FC menzahirkan kebimbangan serius bahawa kecenderungan memberi kelonggaran berulang kali bakal memberi kesan buruk kepada ekosistem bola sepak negara.

Dalam kenyataan tegas itu, Penang FC menyatakan bahawa walaupun memahami cabaran yang dihadapi oleh sesetengah kelab, amalan melanjutkan tarikh akhir secara berulang adalah satu langkah ke belakang dan boleh menggalakkan sikap sambil lewa terhadap pematuhan peraturan liga.

Malah, kelab itu menyifatkan lanjutan tarikh akhir sebagai ‘tamparan hebat’ yang mencalarkan prinsip kesaksamaan dalam saingan liga. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here