Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR MAS: “Walaupun terjejas banjir, saya akan tetap positif untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” kata Nur Asyikin Mohd Zafri.
Nur Asyikin merupakan salah seorang calon SPM yang terjejas banjir di Kelantan dan menjalani Ujian Bertutur Bahasa Melayu, hari ini.
“Persediaan memang agak terbatas berikutan rumah saya yang dinaiki air lebih dua meter sejak lima hari lalu serta Ipad juga kehabisan bateri dan tidak dapat cas.
“Perjuangan saya ingin keluar daripada rumah saya itu sangat sukar kerana kebiasaannya perjalanan mengambil masa lebih kurang 10 minit, tapi pada kali ini saya terpaksa menaiki perahu yang mengambil masa selama 30 minit,” katanya ketika di temui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim Dua, Pasir Mas, hari ini.
Katanya, sepanjang banjir, dia menumpang di rumah ibu saudaranya di Kampung Kok Batu, Rantau Panjang, namun memilih untuk tinggal di asrama selepas ketiadaan elektrik.
Nur Asyikin bersama beberapa rakannya dibawa ke asrama SMK Sultan Ibrahim 2 dengan menaiki trak tentera semalam.
Ujarnya, walaupun perasaan yang dihadapi bercampur baur, namun dia cuba positif agar mampu menduduki peperiksaan dengan lancar.
Sementara itu, seorang lagi calon, Samsinasuri Saiful Bahari berkata, dia mengambil kesempatan mengulang kaji pelajaran bersama rakannya di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Sesi ulangkaji juga agak sukar kerana saya tidak dapat menghubungi rakan yang lain berikutan ketiadaan bateri telefon,” katanya.
Samsinasuri antara calon SPM 2024 yang terpaksa menduduki peperiksaan SPM di pusat peperiksaan alternatif berikutan banjir melanda negeri Kelantan
IMedikel TV






