Kuala Lumpur : Penyanyi Aina Abdul melahirkan rasa syukur dan terharu selepas berjaya merangkul gelaran Persembahan Terbaik menerusi lagu Kamu pada pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) yang berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil, malam tadi.
Memetik laporan Harian Metro, Aina, 33, atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani menyifatkan kejayaan itu berbaloi dengan kerja keras yang dicurahkan bersama pasukannya, selain sokongan padu peminat.
“Kemenangan ini berkat usaha peminat. Tanpa mereka, saya tak akan bermimpi untuk memegang penghargaan ini. Selalunya selepas AJL saya letak tanggapan tinggi dan bila tak dapat saya mula tertekan, tapi tahun ini saya rasa sangat tenang dan gembira,” katanya ketika ditemui pada sidang media.
Aina turut berkongsi detik mistik dan beremosi yang mengubah fikirannya untuk tetap memberikan persembahan berskala besar di pentas AJL40 selepas berdepan dilema akibat kos serta tekanan emosi.
“Bulan lalu sewaktu berada di sebuah kompleks beli-belah, saya menangis kerana terlalu tertekan memikirkan sama ada mahu tampil secara berskala besar atau sebaliknya. Tiba-tiba muncul seorang lelaki tak dikenali menghampiri saya.
“Dia mengaku peminat tegar dan berpesan supaya saya buat saja apa yang telah dirancang tanpa beragak-agak. Kejadian itu meremangkan bulu roma dan terus membuka mata serta mengubah fikiran saya 100 peratus,” kongsinya yang mengambil masa sebulan untuk persiapan konsep persembahan berkenaan.
Kejayaan memenangi kategori Persembahan Terbaik melayakkan Aina membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 beserta trofi.
Bukan itu sahaja, beliau turut merangkul Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee yang membawa pulang RM50,000, trofi eksklusif serta kontrak sebagai Duta Kempen Shopee.
Lebih membanggakan, Aina turut dipilih secara rasmi untuk membawa nama Malaysia ke pertandingan Eurovision Song Contest Asia 2026.- HMetro Online-
IMedikel TV






