Home Sukan MESSI GAGAL PENALTI LAGI, MIAMI DIBELASAH NASHVILLE

MESSI GAGAL PENALTI LAGI, MIAMI DIBELASAH NASHVILLE

Washington: Lionel Messi sekali lagi gagal menyempurnakan sepakan penalti selain dilayangkan kad kuning ketika Inter Miami dibelasah Nashville 1-4 dalam pertembungan pendahulu Major League Soccer (MLS), awal pagi tadi.

Memetik laporan AFP Menerusi Harian Metro, Penyerang England, Sam Surridge dan pemain Jerman, Hany Mukhtar masing-masing meledak gol pada babak kedua untuk membantu Nashville menundukkan Miami dalam aksi antara dua pasukan teratas MLS.

Messi yang juga kapten Argentina dan Miami gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama sebelum dilayangkan kad kuning pada minit ke-59.

Namun, dia tetap memainkan peranan penting dengan mencipta bantuan gol buat Inter Miami sebelum menyaksikan dua percubaannya pada masa kecederaan babak kedua terkena kedua-dua tiang.

Nashville kini mendahului MLS dengan 43 mata hasil rekod 13 kemenangan, dua kekalahan dan empat seri, manakala Miami di tangga kedua dengan 38 mata.

Nashville sebelum ini turut menyingkirkan Miami daripada saingan Piala Juara-Juara CONCACAF musim ini pada pusingan 16 terakhir.

Miami yang juga juara bertahan MLS dan sebelum ini mencatat rekod terbaik liga dengan lapan kemenangan, satu kekalahan serta satu seri di gelanggang lawan, turut menyaksikan rentetan tujuh perlawanan tanpa kalah mereka dalam liga berakhir.

Nashville pula kekal kebal di laman sendiri dalam kempen MLS musim ini.

Pertahanan Honduras, Andy Najar membuka jaringan pada minit ke-17 menerusi tandukan untuk memberikan Nashville kelebihan 1-0.

Miami kemudian berpeluang menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Messi pada minit ke-23, namun penjaga gol Nashville, Brian Schwake mudah menyelamatkan percubaan lemah pemain berusia 39 tahun itu.

Rekod Messi dari titik penalti kini semakin mengecewakan mengikut standard tinggi yang ditetapkannya, termasuk dua kegagalan ketika Piala Dunia.

Bagaimanapun, Miami akhirnya menyamakan kedudukan tiga minit memasuki masa kecederaan babak pertama apabila pemain Venezuela, Telasco Segovia melepaskan rembatan kaki kanan hasil hantaran Messi.

Mukhtar yang dinobatkan Pemain Paling Bernilai (MVP) MLS 2022 kembali meletakkan Nashville di depan pada minit ke-49.

Surridge kemudian melebarkan kelebihan Nashville kepada 3-1 sebelum Mukhtar menjaringkan gol keduanya pada minit ke-63 untuk melengkapkan malam gemilang tuan rumah.-AFP, HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here