Home Luar Negara TENTERA THAILAND SIASAT DAKWAAN PENCABULAN SEKSUAL 18 KADET DI AKADEMI ELIT

TENTERA THAILAND SIASAT DAKWAAN PENCABULAN SEKSUAL 18 KADET DI AKADEMI ELIT

252
0

BANGKOK: Angkatan Tentera Diraja Thailand (RTARF) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan bahawa seorang ahli fisioterapi di Sekolah Persediaan Akademi Angkatan Tentera telah mencabul 18 pelajar.

Jurucakap RTARF, Mejar Jeneral Vithai Laithomya, berkata sasatan dimulakan selepas laporan di media sosial mendakwa 18 kadet angkatan tentera dicabul oleh suspek di sekolah tentera elit di wilayah Nakhon Nayok pada Oktober dan November lalu.

Ketua Angkatan Pertahanan, Jeneral Songwit Noonpackdee, mengarahkan penubuhan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat kes itu dan melaporkan penemuan mereka dalam tempoh tujuh hari.

Setakat ini, seramai 21 individu – termasuk 18 mangsa dan tiga saksi yang semuanya adalah anggota tentera – telah memberi keterangan kepada jawatankuasa tersebut.

Mejar Jeneral Vithai berkata semua 18 mangsa melaporkan bahawa suspek menyentuh tubuh mereka secara tidak senonoh, dengan seorang mangsa mendakwa suspek meraba kemaluannya.

Suspek telah digantung tugas dan dipindahkan ke jawatan tidak aktif di ibu pejabat RTARF sementara siasatan dijalankan.

Jika didapati bersalah, suspek akan berdepan tuduhan jenayah serta hukuman disiplin, manakala penyelianya akan dikenakan tindakan disiplin kerana kecuaian, kata jurucakap itu.

Sekolah berkenaan juga telah mengatur sesi kaunseling dan pemulihan psikiatri untuk mangsa.

Pengarah sekolah itu akan bertemu secara peribadi dengan setiap keluarga mangsa, memaklumkan perkembangan siasatan, dan menyampaikan ucapan takziah, tambah Mejar Jeneral Vithai. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here