Home Buletin Semasa TENGKU MAHKOTA KELANTAN BERKENAN KURNIA KERUSI RODA KEPADA OKU ASNAF 

TENGKU MAHKOTA KELANTAN BERKENAN KURNIA KERUSI RODA KEPADA OKU ASNAF 

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan berangkat mencemar duli ke Majlis Pengurniaan Kerusi Roda, Sijil Tamat Latihan dan Sumbangan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) Asnaf Negeri Kelantan 2025 di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, semalam.

Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr Shaiful Bahari Ismail berkata, seramai 330 OKU Asnaf terlibat dalam program berkenaan, termasuk 30 individu yang menerima kerusi roda yang telah diubah suai mengikut keperluan masing-masing.

“Kesemua penerima menjalani proses penilaian teliti oleh Pakar Terapi Cara Kerja serta latihan penggunaan kerusi roda sebelum pengurniaan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir Dr Abdul Rahman Mohamed pada majlis tersebut.

Tambahnya, 50 OKU intelek turut menerima sijil tamat latihan setelah berjaya menamatkan Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek (VT@USM) yang ditaja oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Sementara itu, seramai 250 golongan asnaf lain menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM125,000 daripada Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kelantan,” katanya.

Menurutnya lagi, PTOKU USM-MAIK ditubuhkan pada 2018 hasil sumbangan hampir RM1 juta daripada MAIK melalui Dana Wang Ehsan Negeri Kelantan (WENK).

“Pada tahun lalu, MAIK turut menyalurkan sebanyak RM340,000 bagi melaksanakan Program Penilaian, Pendidikan dan Modifikasi Kerusi Roda untuk golongan OKU Asnaf di negeri ini,” katanya.

Majlis berkenaan adalah anjuran bersama USM dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menerusi Pusat Transformasi OKU (PTOKU USM-MAIK).

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here