Home Sukan TEN HAG TIDAK BOLEH LAGI KALAH

TEN HAG TIDAK BOLEH LAGI KALAH

LONDON: Bos Manchester United, Erik ten Hag yang tertekan tidak boleh mengalami satu lagi kekalahan apabila pasukan bermasalahnya berdepan Fulham malam esok.

Cabaran Tottenham untuk memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris pula akan diuji apabila bekas bos kelab pendahulu itu, Mauricio Pochettino kembali bersama Chelsea.

Arsenal turut mengimpikan kejuaraan, menjadikan pertembungan dengan calon kelab empat teratas, Newcastle sebagai satu daripada perlawanan besar hujung minggu ini.

Ten Hag menggesa bintang Manchester United untuk “bangkit” menangani tekanan ketika jurulatih dari Belanda itu berjuang untuk menghalang musim mereka daripada terus merudum.

Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,United melakukan permulaan terburuk sejak musim 1962-63 dan kekalahan menentang Fulham di Craven Cottage boleh menyebabkan Ten Hag berada di ambang pemecatan selepas kurang dua musim mengendalikan kelab gergasi itu.

Dibelasah 3-0 oleh Manchester City hujung minggu lalu, United tersungkur dengan jaringan sama menentang Newcastle pada pusingan keempat Piala Liga Inggeris awal pagi semalam.

Anak buah Ten Hag kalah lapan daripada 15 perlawanan mereka dalam semua pertandingan musim ini, menyaksikan mereka menghuni tangga kelapan dalam EPL dan berdepan bahaya tidak layak ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Ia kali pertama United kalah dua perlawanan di laman sendiri dengan tiga gol atau lebih sejak tahun 1962, manakala mereka kalah lima daripada 10 perlawanan pertama di halaman sendiri buat kali pertama sejak musim 1930-31.

“Ini tidak cukup bagus dan kami menyedarinya. Ia di bawah tahap sebenar kami dan kami sedar perlu bertanggungjawab dengan keadaan ini,” kata Ten Hag selepas United dicemuh menentang Newcastle.

Dalam usaha terdesak untuk memulihkan keadaan, bekas bos Ajax itu berkata: “Ini adalah tugas kami. Kami tidur dan kami perlu bermula semula, jadi kami perlu bangkit.

“Bersatu dan bersama adalah satu-satunya cara kami melakukannya, maka kami akan melalui semua ini bersama.”

Sementara itu James Maddison berkata, keyakinan kuat Ange Postecoglou berjaya memujuknya untuk menyertai Tottenham, kelab yang kini berada di tempat terbaik untuk memburu kejuaraan.

Maddison meninggalkan Leicester pada hujung musim dan menyertai Postecoglou dan Tottenham, kini pemain England itu menjadi tonggak yang memacu Spurs ke puncak carta liga.

“Beliau berkata ‘James, sama ada anda memutuskan untuk datang atau tidak, anda akan melihat pasukan Tottenham yang jelas amat berbeza’,” kata Maddison menjelang pertemuan awal pagi Selasa ini dengan pengurus Chelsea, Pochettino kembali ke kelab itu buat kali pertama sejak beliau dipecat pada tahun 2019.

Ketika mereka memburu kejuaraan EPL pertama sejak tahun 2004, kemenangan di Newcastle mampu memberikan rangsangan buat pasukan di tangga kedua, Arsenal.

Bos Gunners, Mikel Arteta menyatakan beliau bertanggungjawab selepas enam pertukaran pemain memakan diri apabila mereka kalah di tangan West Ham dalam aksi Piala Liga.

Namun kejutan itu akan pantas dilupakan jika Arsenal, yang ketinggalan dua mata di belakang Tottenham, kembali dari Tyneside dengan kemenangan ke atas pasukan yang penuh bersemangat selepas menyingkirkan Manchester United dalam Piala Liga.

“Hebat kerana perlawanan ini dalam masa tiga hari, jadi kami ada peluang untuk mengubah keadaan. Kami akan cuba memperbetulkan keadaan,” kata pemain tengah Arsenal, Jorginho.

“Satu-satunya perkara yang kami boleh ambil daripada keputusan sukar ini adalah kami perlu lebih bagus pada perlawanan berikutnya, kerana jika anda bermain pada tahap ini, sudah tentu anda tidak akan menang.” – AFP

-BERITA HARIAN-

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here