Home Buletin Semasa TEMPAHAN HOTEL KUCING PENUH MENJELANG HARI RAYA

TEMPAHAN HOTEL KUCING PENUH MENJELANG HARI RAYA

290
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Hotel kucing mendapat permintaan tinggi apabila kouta bilik yang disediakan di Pusak Pethouse Hotel And Spa penuh ditempah menjelang Aidilfitir.

Pemilik hotel kucing, Nur Hidayu Abdul Rahim berkata, rata-rata pemilik kucing membuat tempahan hotel sejak Januari lalu bagi memastikan si bulus mereka terjaga walaupun pemiliknya sibuk beraya.

“Seawal bulan Januari lagi kita telah menerima tempahan sehingga seminggu sebelum raya di  kesemua cawangan hotel kucing di Kota Bharu, Pasir Pekan dan Pasir Mas.

“Seminggu sebelum raya memang kita tidak dapat terima yang walk in dan tempahan akhir kita terpaksa tolak sebab penuh,” katanya.

Nur Hidayu berkata, dia menyediakan sebanyak 98 penginapan hotel kucing pelbagai saiz di ketiga-tiga cawangan miliknya.

Katanya, bagi tempahan musim perayaan, pemilik kucing menempah bilik untuk tempoh empat hingga 10 hari.

“Bilik di sini pun mengikut saiz ada yang untuk boleh muat satu ekor, tiga ekor, tujuh ekor dan maksimum seramai 15 ekor kucing.

“Dari segi bilik bergantung pada permintaan pemilik kucing, ada yang satu ekor saja tapi dia nak bilik besar, macam kami ini, bilik besar, kita panggil premier room memuatkan tiga ekor kucing yang berharga RM58 satu hari.

“Kita mempunyai sebanyak lima jenis bilik seperti deluxe room, studio room, family room, premium room dan cat garden yang paling besar,” katanya.

Katanya, harga bagi kesemua penginapan hotel adalah serendah RM15 hingga RM160 sehari.

Sementara itu, Penyelia Pusak Pethouse Mohd Aizat Mohd Fauzi, 31 berkata kesemua si bulus yang dihantar di hotel itu adalah sudah divaksin.

“Untuk penjagaan kucing di sini, kita akan bersihkan dua kali sehari, satu pagi satu petang.

“Sebelum masuk, kita akan periksa terlebih dahulu untuk memastikan kucing itu bebas daripada masalah kutu dan hama,” katanya.

Katanya, bagi menghilangkan kerisauan pemilik kucing terhadap haiwan peliharaan mereka, setiap hari dia akan membuat rakaman video dan menghantarnya kepada pemilik si bulus masing-masing.

Dalam pada itu, Nur Hidayu berkata, setakat ini dia hanya mampu menerima sebanyak 30 ekor kucing sahaja untuk perkhidmatan dandanan berikutan tidak menang tangan pada hujung Ramadan.

Katanya, setiap ekor kucing memerlukan perkhidmatan dandanan selama tiga hingga lima jam bergantung kepada kucing dan “groomers”.

Menurut seorang pemilik kucing, Azie Zainuddin, 35 dari Pasir Mas, berkata dia gembira membawa si bulus peliharaannya yang diberi nama Miu Miu untuk membuat dandanan bagi persiapan hari raya.

“Grooming untuk hari raya kan hari raya orang mari rumah orang nak tengook, jadi orang datang raya kat rumah nak cium jadi kalau bau tidak wangi risau la kita.

“Benda nombor satu yang kita pelru jaga adalah kebersihan kesihatan kucing itu jadi bila dia bersih, sihat dan gembira itu yang menjadi kucing itu panjang umur,” katanya.

Tambahnya, dia sudah menjaga si bulus itu sejak 10 tahun lalu dan kini beratnya sudah hampir tujuh kilogram (kg).

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here