Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) giat melaksanakan penggunaan teknologi baharu termasuk Kecerdasan Buatan (AI) sebagai usaha mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan kaunter, sekali gus mempercepat dan mempermudah urusan rakyat.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, beberapa aplikasi akan diwujudkan supaya rakyat tidak perlu lagi beratur sebaliknya hanya menggunakan aplikasi tertentu sahaja.
“Kerajaan sentiasa berusaha untuk mencari satu kaedah baru bagaimana kita cuba untuk mengurangkan perkhidmatan kaunter.
“Itu adalah antara rancangan jangka panjang JPA untuk memastikan perkhidmatan kerajaan pada rakyat sentiasa berada pada tahap yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Tautan Perdana di Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Ara, di sini, hari ini.
Terdahulu, JPA menghantar beberapa pegawai mengikuti kursus Al di India dan China selama enam bulan menerusi program ‘Training of Trainers’ (ToT).
Dalam pada itu Wan Ahmad Dahlan berkata, pihaknya kini selesai membuat pusingan kerja fasa satu terhadap 1,000 penjawat awam yang bertugas di kaunter kerajaan.
Jelasnya, perkara itu merupakan salah satu yang terkandung dalam reformasi perkhidmatan awam.
“Kita sedia maklum pusingan kerja ini sangat penting untuk dilaksanakan kerana kita tidak mahu seseorang itu berada lama di satu tempat kerana ianya boleh menimbulkan pelbagai isu.
“Fasa pertama kita pun dh selesaikan.. membabitkan pelbagai agensi yang ada perkhidmatan kaunter contoh Jabatan Pengangkutam Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan lain-lain lagi,” katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya tidak boleh menukar sekaligus penjawat awam kerana masih memerlukan pegawai yang sudah lama berkhidmat selain boleh menimbulkan isu dari segi pelaksanaan.
“Atau mungkin boleh berlaku ketirisan apabila pegawai terlalu lama berada contohnya mereka yang berada di bahagian peralihan dan sebagainya,” katanya.
Menurut Wan Ahmad Dahlan, setakat ini hampir 50 peratus penjawat awam sudah melalui pusingan kerja tersebut malah pihaknya bakal melakukan fasa kedua namun bergantung pada keadaan ketika itu.
IMedikel TV






