Home Sukan TANG JIE-EE WEI TERLEPAS PELUANG PERTAHAN GELARAN DUNIA

TANG JIE-EE WEI TERLEPAS PELUANG PERTAHAN GELARAN DUNIA

Kuala Lumpur: Hasrat Malaysia mempertahankan gelaran beregu campuran di Kejohanan Badminton Dunia 2026 menerima tamparan apabila juara bertahan yang juga pasangan ranking keempat dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, sah menarik diri daripada kejohanan itu.

Memetik laporan Harian Metro, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memaklumkan keputusan berkenaan dibuat kerana Ee Wei masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut dan tidak sempat kembali cergas untuk mempertahankan kejuaraan dimenangi tahun lalu.

Ee Wei mengalami koyakan separa ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kiri ketika beraksi di Terbuka Singapura pada Mei lalu sebelum menjalani pembedahan di Australia.

Menurut BAM, keputusan menarik diri dibuat berdasarkan nasihat pasukan perubatan dengan keutamaan diberikan kepada pemulihan jangka panjang Ee Wei.

“BAM mengesahkan Tang Jie-Ee Wei menarik diri daripada Kejohanan Badminton Dunia 2026 kerana Ee Wei masih meneruskan proses rehabilitasi selepas pembedahan lutut baru-baru ini.

“Keputusan itu dibuat berdasarkan nasihat perubatan dengan pemulihan jangka panjang Ee Wei kekal menjadi keutamaan,” menurut kenyataan BAM.

Dalam masa sama, BAM turut mengemukakan permohonan kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi melindungi ranking dunia Ee Wei sepanjang tempoh pemulihannya yang mana mereka kini berada di ranking keempat dunia.

Ketiadaan pasangan ranking keempat dunia itu menyaksikan Malaysia kehilangan sandaran utama dalam acara beregu campuran dengan harapan kini diletakkan di bahu beregu berpengalaman negara yang juga pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Kejohanan Dunia akan membuka tirainya pada 17 hingga 23 Ogos di Indira Gandhi Indoor Stadium New Delhi, India.-HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here