Kuala Lumpur: Penyanyi Barbarik, Muss menyifatkan keputusan bekas pemain gitar May, Abu menubuhkan band baharu sebagai perkara positif.
Memetik laporan Harian Metro, Muss yang juga bekas vokalis May berkata, seseorang pemuzik perlu sentiasa berkarya bagi meneruskan kesinambungan aktiviti muziknya daripada berkubur.
“Bagi saya okaylah sebab bila kita sebagai pemuzik, ataupun kita biasa main muzik dengan band, jadi bila ‘create’ band baru atau apa sahaja, itu adalah aktiviti muzik.
“Dia tak boleh lari daripada itu. Dia nak create satu band yang lain, bagi saya kalau tak menjejaskan apa yang dia ada dan benda itu jadi satu aktiviti yang positif sebagai pemuzik, saya rasa okay saja.
“Sebab main muzik ini kena bercampur, kena berkarya dan kadang-kadang kita tengok benda itu akan menjadi sesuatu yang lebih bermakna ataupun sesuatu yang lebih berharga,” katanya kepada Harian Metro.
Muss berkata, jika tindakan Abu dilihat sebagai langkah ke arah yang baru, maka ia adalah prinsip masing-masing.
“Bagi saya, setiap orang perlu ada prinsip. Tak bolehlah disebabkan orang lain ataupun perkara-perkara lain, maka prinsip kita terjejas. Kalau dia rasa benda itu tak melibatkan orang lain dan dia nak teruskan, bagi saya okay, perkara positif.
“Soal kena kecam pula, dalam zaman sekarang ini, setiap orang akan kecam apa yang orang lain buat. Jadi kau takkan boleh nak puaskan hati semua orang.
“Kalau kau fikir itu nak puaskan hati semua orang, memang masalah sebab akhirnya sekali, hidup kita bergantung kepada kita. Apa yang kita buat itu, hak kita,” katanya.
Bagaimanapun Muss berkata, tiada salahnya juga jika mungkin sebahagian kecil kritikan itu boleh diambil sebagai iktibar atau panduan.
“Kita nak buat pilihan sesuatu perkara itu, mungkinlah ada sedikit pendapat orang kita boleh pakai. Kalau kita dah ‘stick’ dengan idea, prinsip kita, kita tahu apa nak jadi dengan life kita, that’s it.
“Orang nak kata apa, katalah. Kita tak mampu nak puaskan hati semua orang. Dia pun nak hidup. Ya, masing-masing ada pendirian. Cuma kadang-kadang ada pendirian itu akan merosakkan kita, akan jadi tak okay.
“Itu yang kita kena fikir. Mana satu prinsip kita yang sebenarnya lebih positif pada kita ataupun benda itu merosakkan kita. Itu kita kena select (pilih),” katanya.
Terdahulu, kumpulan May yang berasal dari Perak ditubuhkan pada 1986 menyaksikan pengunduran Muss pada 2019 dan diikuti dengan Man (pemain dram) pada 2021 yang kemudian menubuhkan Max.
Manakala Abu pula mengundurkan diri pada awal tahun ini dan menubuhkan band Abu & Friends dianggotai Nan sebagai vokalis, Ipin (bass) dan Wak Yus (dram).
Ketiga-tiga mereka bertemu semula dalam program amal Memory Lane @ Tronoh bersama band masing-masing untuk kutipan dana bagi membantu rawatan isteri Muss, Suraya Bahari, baru-baru ini.
Perjuangan May pula diteruskan oleh Yus (pemain bass) bersama anggota baharu.-HMetro Online-
IMedikel TV






