BARCELONA, Sepanyol: Penjaga gol Barcelona, Wojciech Szczesny memperbaharui kontraknya hingga tahun 2027, umum juara La Liga itu semalam.
“Penjaga gol Poland kekal bersama pasukan ini sebagai pengiktirafan dan ganjaran susulan musim cemerlangnya menjaga gawang Barca, selepas ketibaan yang tidak dijangka dalam situasi luar biasa,” menurut kelab Catalan itu dalam satu kenyataan.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, Szczesny, 35, yang sudah bersara daripada bola sepak, ditandatangani oleh Barcelona pada Oktober lalu bagi menggantikan penjaga gol utama Marc-Andre ter Stegen yang mengalami kecederaan tendon patela dan terpaksa diketepikan hampir sepanjang musim.
Szczesny mempamerkan prestasi meyakinkan sepanjang musim ketika Barca menjuarai La Liga dan Copa del Rey, manakala Ter Stegen hanya sempat kembali ke skuad pada minggu terakhir musim.
Keputusan Szczesny untuk kekal serta pembelian penjaga gol Joan Garcia dari Espanyol awal musim panas ini mencetus persoalan mengenai masa depan Ter Stegen di kelab itu.
Penjaga gol kebangsaan Jerman berusia 33 tahun itu menerima gaji tinggi di Barcelona dan media Sepanyol melaporkan kelab yang sedang berdepan masalah kewangan itu ingin mengurangkan beban kewangan mereka dalam aspek itu.
Barcelona membeli Garcia dari Espanyol dengan harga 26.34 juta euro (RM131 juta) bagi kontrak selama enam bulan lalu, selain masih memiliki seorang lagi penjaga gol, Inaki Pena dalam skuad. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






