Home Luar Negara SYRIA SERAH SURAT BANTAHAN KEPADA PBB, UNSC KECAM SERANGAN ISRAEL

SYRIA SERAH SURAT BANTAHAN KEPADA PBB, UNSC KECAM SERANGAN ISRAEL

152
0

HAMILTON: Syria menyerahkan surat rasmi kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres dan Majlis Keselamatan PBB (UNSC), mengecam serangan terbaharu Israel ke atas wilayahnya, lapor Agensi Anadolu.

Menurut Duta Syria ke PBB, Qusay Al-Dahhak, pihaknya telah menghantar surat terbabit hari ini, atas arahan kerajaan Syria, kepada Setiausaha Agung PBB dan UNSC bagi mengecam serangan Israel ini.

Beliau menggesa PBB dan UNSC untuk bertindak tegas dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa serta menghentikan serangan Israel ke atas Syria.

Al-Dahhak turut mengecam serangan udara Israel baru-baru ini yang didakwa menyasarkan infrastruktur awam dan ketenteraan di Syria.

Beliau menuduh Israel mengambil kesempatan daripada situasi peralihan politik di Syria untuk melaksanakan ‘agenda penjajahan’ mereka, sambil menggesa UNSC memaksa Tel Aviv mematuhi undang-undang dan resolusi antarabangsa, termasuk Perjanjian Pemisahan 1974.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) pula pada Ahad lalu dikerahkan ke zon penampan dengan Syria buat pertama kali dalam tempoh 50 tahun susulan kejatuhan rejim Presiden Bashar al-Assad, di mana kegiatan ketenteraan dilarang sama sekali.

Dalam satu kenyataan, IDF menyatakan: tindakan itu selaras dengan penilaian semasa keadaan susulan perkembangan terkini di Syria, termasuk kemasukan anggota bersenjata ke dalam zon penampan.

“Justeru, IDF mengerahkan pasukan di zon penampan dan beberapa lokasi lain yang diperlukan untuk mempertahankan keselamatannya.

“Kami menegaskan bahawa IDF tidak campur tangan dalam urusan dalaman Syria. IDF akan terus bertindak selagi diperlukan bagi memelihara zon penampan serta melindungi Israel dan rakyatnya,” katanya.

Penglibatan IDF di zon penampan seluas 401 kilometer persegi itu dilaporkan bersifat sementara dan dilakukan dengan kerjasama Pasukan Pemerhati Pemisahan PBB (UNDOF), yang bertanggungjawab menjaga zon itu.

Agensi Pemantau Hak Asasi Manusia Syria melaporkan bahawa kereta kebal dan kenderaan perisai Israel dilihat ditempatkan di Quneitra, dan pasukan Israel mendekati rumah-rumah penduduk di kampung Al-Hamidiyah, di utara Quneitra.

Agensi itu turut mendakwa bahawa pasukan Israel ‘melepaskan tembakan terhadap seorang pemuda’ dan menahan dua orang lain beberapa hari sebelum itu, serta ‘menahan semua penduduk kampung Rasm Al-Rawadhi dan membawa mereka ke sekolah di kampung itu’.

Tentera Udara Israel juga dilaporkan melancarkan serangan untuk memusnahkan aset-aset kerajaan yang berpotensi digunakan terhadap pasukan Israel oleh pemberontak, menurut laporan The New York Times. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here