Home Buletin Semasa SYAWAL LEBIH BERMAKNA IBU TUNGGAL SYUKUR ANAK DAPAT PAKAIAN RAYA

SYAWAL LEBIH BERMAKNA IBU TUNGGAL SYUKUR ANAK DAPAT PAKAIAN RAYA

212
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Enam tahun lalu, selepas suaminya meninggal dunia akibat kanser hati, Nor Hapidah Ahmad. 47, dari Pantai Cahaya Bulan (PCB) terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk menyara tiga anaknya yang berusia antara sembilan hingga 17 tahun dan masih bersekolah.

Menurutnya, pada awal kehilangan suami, kehidupan mereka sangat mencabar sehingga anak-anak hanya mampu memakai pakaian terpakai yang disumbangkan kenalan di media sosial.

Namun, kesedihan itu sedikit terubat apabila dua anaknya Nur Anisa Maisara Mohd Zaid,12, dan
Nur Aisyah Rania, 9 dapat memakai pakaian baharu tahun ini.

“Dulu memang bergantung kepada bantuan orang. Anak-anak pakai apa yang ada saja. Anak-anak pun tidak memilih.

“Alhamdulillah selepas lima tahun anak-anak memakai pakaian terpakai hasil sedekah daripada rakan-rakan alam maya, tahun ini anak dapat satu set pakaian raya yang baharu menjelang Aidilfitri.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih. Anak-anak pun gembira kerana dapat memilih sendiri pakaian raya mereka,”katanya.

Nor Hapidah antara 122 penerima sumbangan Program Shopping Raya Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) dan Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) 2026 yang berlangsung di Mydin Mall Tunjong, di sini, hari ini.

Dua lagi anaknya berusia 25 dan 23 tahun dan sudah berkeluarga, manakala anak ketiganya, Nur Ainul Wasilah, 21, kini bekerja di kedai makan dan kadang-kadang membantu meringankan beban keluarga.

“Anak sulung dan kedua sudah berkeluarga. Yang sulung bekerja kilang manakala yang kedua surirumah.

“Namun anak ketiga saya ada juga membantu saya sedikit sebanyak meringankan beban saya dan tiga adiknya,”katanya.

Bagi menampung perbelanjaan, dia bekerja sebagai penghantar barangan (runner) dengan mengambil upah membeli barangan di pasar serta membuat penghantaran tambah nilai telefon.

“Upah antara RM5 hingga RM15 ikut kerja. Pendapatan tak menentu, kadang-kadang hampir RM500 sebulan kalau ada banyak permintaan,” katanya.

Dia menyifatkan sumbangan RM200 itu amat bermakna dalam membantu menyediakan kelengkapan Aidilfitri buat anak-anak.

Sementara itu, Nor Hasmawati Ismail, 48, dari Kampung Badak Mati, Bukit Marak, Bachok, turut berkongsi kisah kehilangan suami yang meninggal dunia dalam tidur hampir enam tahun lalu.

Ibu kepada enam anak berusia antara 26 hingga tujuh tahun itu kini menanggung tiga anak yang masih bersekolah termasuk seorang berusia 16 tahun.

Nor Hasmawati turut meluahkan rasa gembira apabila menerima sumbangan RM200 yang disifatkan sebagai bantuan besar dalam meringankan beban perbelanjaan.

“Tahun ini dapat juga beli sepasang baju raya untuk anak-anak. Saya bersyukur sangat.

“Sumbangan RM200 itu sangat membantu untuk pakaian raya buat anak-anak dan memberi sedikit kelegaan menjelang Syawal.

“Sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit beban saya,” katanya penuh syukur.

Program berkenaan bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah menghadirkan sinar kegembiraan kepada keluarga yang diuji dengan kehilangan dan kesempitan hidup.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here