Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) memperuntukkan sebanyak RM24,400 bagi menjayakan Program Shopping Raya POKB dengan kerjasama Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) 2026 yang memberi manfaat kepada 122 penerima terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) berusia 12 tahun ke bawah di negeri ini.
Presiden POKB, Nik Izani Nik Ibrahim berkata, setiap penerima menerima RM200 bagi membeli kelengkapan pakaian sempena Aidilfitri menerusi program tahunan yang berlangsung di Mydin Mall Tunjong, hari ini.
“Program ini adalah program tahunan POKB. Hari ini seramai 122 orang dipilih dan setiap seorang kita beri RM200 untuk mereka membeli kelengkapan hari raya.
“Ia bagi meraikan mereka yang memerlukan termasuk anak-anak yatim, asnaf dan juga OKU,” katanya.
Beliau berkata demikan pada sidang media selepas program Program Shopping Raya POKB PEKEMA 2026, di sini, hari ini.
Menurut beliau, kesemua penerima dipilih dari seluruh daerah di Kelantan termasuk Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok dan daerah lain melalui cadangan pihak sekolah, masjid dan wakil POKB di setiap daerah.
“Kita ada wakil di semua daerah dan pemilihan dibuat melalui sekolah serta masjid supaya bantuan benar-benar sampai kepada yang layak,” katanya.
Selain program shopping raya, POKB turut merancang pelbagai aktiviti kebajikan sepanjang Ramadan termasuk majlis iftar bersama golongan memerlukan dalam masa terdekat.
“Kita ada program di sekolah esok bagi mengagihkan kira-kira 100 beg sekolah sumbangan POKB dan PEKEMA kepada pelajar yang memerlukan,”katanya.
Mengulas peruntukan tahunan, Nik Izani berkata POKB membelanjakan kira-kira RM300,000 setiap tahun bagi melaksanakan pelbagai program kebajikan hasil sumbangan rakan strategik, ahli jawatankuasa serta orang ramai.
“Ketika musim banjir baru-baru ini, POKB mengagihkan 500 bakul makanan ke seluruh daerah di Kelantan dan lebihan bantuan turut disalurkan kepada keluarga miskin di negeri ini,”katanya.
Katanya POKB yang berpusat di Rumah Kasih POKB di Kubang Kerian di sni digerakkan oleh sukarelawan dan kakitangan tetap bagi memastikan setiap program kebajikan dapat dilaksanakan secara berterusan.
IMedikel TV






