Home Hiburan ROSYAM SELONGKAR SISI GELAP, TERANG TETAMU PODCAST SEBAGAI INSPIRASI ORANG LAIN

ROSYAM SELONGKAR SISI GELAP, TERANG TETAMU PODCAST SEBAGAI INSPIRASI ORANG LAIN

154
0

Di sebalik keriuhan dunia digital yang dipenuhi dengan pelbagai kandungan video, nama pelakon dan penerbit, Datuk Rosyam Nor terus mencuri perhatian melalui pendekatannya yang unik sebagai pengacara podcast popular, Hitam Putih Kehidupan.

Disiarkan di saluran YouTube Suhan Channel, podcast ini kekal relevan apabila berani menyelongkar sisi gelap dan terang kehidupan tetamu jemputan.

Memetik laporan Harian Metro, matlamat utama program itu bukan sekadar mempromosikan aktiviti seni semata-mata, sebaliknya ingin membawa penonton menyelami realiti sebenar kehidupan.

Menurutnya, nama Hitam Putih Kehidupan itu sendiri melambangkan fasa yang dilalui oleh setiap manusia.

“Dalam hidup ini ada hitam, ada putih. Sesiapa sahaja yang datang, mereka kena menceritakan mengenai ‘hitam’ dan ‘putih’ itu supaya ia menjadi inspirasi dan iktibar buat orang lain,” katanya.

Keunikan Hitam Putih Kehidupan terletak pada pemilihan subjeknya. Rosyam mendedahkan bahawa pasukannya sendiri yang akan keluar mencari individu yang mempunyai kisah menarik untuk dikongsi, bukan menunggu subjek datang kepada mereka.

Malah, dia menegaskan bahawa penaja juga perlu akur dengan pemilihan subjek yang sudah ditetapkan.

Kisah yang dipaparkan tidak terhad kepada selebriti. Rosyam pernah menemu bual gelandangan di tepi jalan bagi memahami punca mereka berada di sana, selain berkongsi kisah peniaga gerai yang mewarisi perniagaan turun-temurun.

Baginya, selagi sesuatu cerita itu mampu memberi inspirasi kepada masyarakat, ia layak diberi ruang dalam program itu.

Kehadiran primadona filem Melayu, Erra Fazira sebagai rakan pengacara turut menyuntik seri tambahan kepada podcast ini. Kehadiran Erra diakui Rosyam melonjakkan jumlah tontonan dan menjadikan jenama itu semakin kuat di pasaran digital.

Menjadi lumrah di media sosial, tidak semua tindakan diterima baik oleh netizen. Rosyam tidak terlepas daripada kritikan, terutama selepas episod yang membabitkan pelakon veteran, Maimunah Ahmad atau Mak Jah tular sehingga ada yang melabelnya sebagai kurang ajar.

Bagaimanapun, Rosyam mempunyai pandangan tersendiri mengenai kritikan itu. Baginya, komen netizen sebenarnya membantu menggerakkan algoritma YouTube supaya lebih ramai orang menonton episod berkenaan.

Dia menjelaskan bahawa hubungannya dengan Mak Jah sudah lama terjalin sejak zaman susah, di mana Mak Jah pernah membantunya menolak van buruk miliknya.

“Sebenarnya, mereka yang komen itu mungkin tidak menonton sepenuhnya. Apabila mereka tonton video penuh, baru mereka faham kenapa saya serius begitu,” katanya.

Rosyam mengakui sengaja menggunakan elemen provokasi dalam pengacaraannya bagi membezakan Hitam Putih Kehidupan dengan kandungan televisyen tradisional.

Di tengah-tengah persaingan jutaan kandungan antarabangsa, dia perlu mencari cara untuk menarik perhatian penonton dengan pantas.

Dalam struktur pengacaraan mereka, Erra Fazira berperanan sebagai ‘orang baik’ yang mewakili sisi positif, manakala Rosyam sendiri mengambil watak ‘nakal’ atau provokatif bagi mencungkil kebenaran di sebalik sesuatu isu.

Strategi ini juga dapat dilihat melalui isu tular yang membabitkan sebuah bengkel motor yang menggunakan gambarnya tanpa izin.

Meskipun bermula dengan rasa marah, Rosyam akhirnya memilih pendekatan pemasaran yang bijak dengan menjadi rakan kongsi perniagaan itu.

Terbaharu, Rosyam bersama Erra dilantik sebagai duta jenama silinder gas tempatan, ACGas.-HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here