KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Shamsul Ghau Ghau mahu terus bekerja bagi menjana pendapatan buat keluarga susulan pembedahan membuang darah beku pada kepala, bulan lalu.
Memetik laporan Berita Harian, Shamsul atau nama sebenar, Shamsul Azahar Aliddin, 57, berkata sebagai ketua keluarga, dia mengakui tanggungjawab itu menjadi pendorong untuk terus positif dan kuat pada hari mendatang.
“Saya akan terima tawaran (lakonan) dan saya akan bekerja. Saya ada anak-anak dan keluarga yang perlu disara. Saya berkahwin pada usia yang sudah lewat dan anak-anak pun masih kecil-kecil. Jadi, saya kena bekerja.
“Tidak mengapa, saya fikir apa yang tuhan bagi ini (diuji masalah kesihatan) adalah yang terbaik untuk saya. Jadi, saya terima.
“Jadi, kalau kata esok ada kerja dan ada rezeki saya apabila saya sudah okay, saya akan kembali bekerja,” katanya ditemui pada majlis iftar Jiwa Prihatin di sebuah hotel di sini, kelmarin.
Shamsul atau lebih mesra disapa Pak Su, terus menunjukkan semangat luar biasa meskipun berdepan ujian kesihatan yang menjejaskan pergerakan dan ingatannya.
“Saya bukan sakit perut, tapi sakit bahagian otak. Ada ‘clot’ dan sekarang dalam proses pemulihan. Insya-Allah, peluang untuk sembuh sepenuhnya itu ada.
“Saya buat ‘brisk walk’ pada bulan puasa ini, kalau tidak dapat lima kilometer, saya buat dua atau tiga kilometer,” katanya.
Berkongsi mengenai perkembangan kesihatannya, Shamsul bersyukur beransur pulih dan akan menghadiri sesi pemeriksaan susulan, Isnin ini,
“Tempoh hari, doktor kata apa yang terjadi pada saya, suatu kejutan. Saya diberitahu perlu tiga bulan untuk melihat perkembangannya. Tetapi, Alhamdulillah, sekarang hendak kata sihat sangat, tidaklah.
“Selepas berada di hospital selama enam hari, ini adalah kali pertama saya hadiri acara di luar. Isteri saya selalunya tidak bagi saya keluar. Saya datang ditemani dua anak. Lagipun. Yayasan Nurjiwa memaklumkan mahu memberi sumbangan kepada saya, jadi saya datang.
“Kalau di lokasi acara, ada kerusi untuk saya duduk berehat, insya-Allah boleh.
“Saya juga berpeluang menziarahi Amyza Aznan ketika anaknya meninggal dunia, baru-baru ini. Tetapi, saya duduk sahaja. Isteri saya sahaja pergi ke kubur, saya tidak dapat pergi,” katanya.
Shamsul mengakui mengalami sedikit gangguan ingatan, namun, bersyukur ingatan jangka panjangnya masih baik.
“Tengok muka macam kenal, tetapi hendak ingat nama, itu kena fikir dahulu. Macam baru-baru ini, saya jumpa Azza Elite, saya ingat-ingat lupa. Sama juga apabila saya jumpa Noorkhiriah, saya ambil masa hendak ingat nama,” katanya.
Shamsul turut meluahkan penghargaan kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Yayasan Nurjiwa atas keprihatinan mereka terhadap kebajikan dirinya dan penggiat seni lain yang diuji masalah kesihatan.
“Sebelum ini, ada dua wakil daripada Yayasan Nurjiwa berjumpa saya. Jadi, apabila mereka datang, saya fikir, saya perlu datang ke majlis ini bagi menghargai sumbangan mereka.
“Sebenarnya, saya hendak ucap terima kasih banyak-banyak kepada semua orang yang datang melawat saya di hospital dan mendoakan kebaikan untuk saya,” katanya.
Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama strategik Yayasan Prihatin menganjurkan majlis iftar Jiwa Prihatin untuk menghargai jasa serta menyantuni golongan penggiat seni dan pengamal media yang berhadapan ujian hidup seperti masalah kesihatan.
Antara yang turut menerima sumbangan adalah penggiat seni tanah air seperti Cico, Ayai, Elyana, Asheed, Jalil Hamid, Ann Ways, Dr Sam dan Harun Hashim.
Selain itu, majlis diserikan dengan kehadiran 120 anak yatim dan pelajar tahfiz dari Pusat Jagaan Anak Yatim dan Asnaf Baitul Nurrawdhah, Rumah Titian Kaseh, Maahad Tahfiz Al-Quran Misbah Falah dan Madrasah Tahfiz Al-Quran Syazwan, yang turut mendapat sumbangan.-BH Online-
IMedikel TV






