Home Buletin Semasa PGA RAMPAS HASIL HUTAN HAMPIR RM8 JUTA  DI KELANTAN, TERENGGANU

PGA RAMPAS HASIL HUTAN HAMPIR RM8 JUTA  DI KELANTAN, TERENGGANU

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas hasil hutan termasuk kayu bulat, balak serta jentera bernilai mencecah RM7.7  juta dalam serbuan di beberapa lokasi di Terengganu dan Kelantan, sepanjang bulan ini.

Komandernya, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, menerusi Ops Bersepadu Khazanah (OBK) dan Ops Taring Wawasan Kelantan (OTWK) pihaknya turut menahan 20 individu.

“Operasi yang dijalankan dari 1 hingga 27 Februari itu membabitkan beberapa serbuan bersepadu di lokasi pembalakan dan kilang kayu yang beroperasi tanpa lesen sah di Kelantan dan Terengganu.

“Pada 8 Februari lalu, Batalion 8 PGA menahan sebuah lori membawa muatan kayu balak dalam keadaan mencurigakan di ladang getah Serasa, Paloh, Gua Musang.

“Pemeriksaan mendapati pemandu gagal mengemukakan dokumen sah pemindahan kayu daripada Jabatan Perhutanan,”katanya dalam menerusi hantaran di media sosial rasmi semalam.

Jelasnya seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun ditahan di bawah Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984.

“Rampasan membabitkan sebuah lori dan enam batang kayu balak disyaki spesies meranti bernilai RM140,000,”katanya.

Menurut beliau pada malam sama, tindakan susulan di kawasan berkenaan membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki yang disyaki terbabit dalam aktiviti menebang, mengangkut dan menjual hasil hutan tanpa lesen.

“Rampasan membabitkan sebuah lori, sebuah excavator, sebuah bulldozer, sebuah chainsaw serta tujuh batang kayu balak dengan nilai keseluruhan RM1,455,000,”katanya.

Manakala menurut beliau pada 12 Februari, Batalion 9 PGA bersama pegawai Cawangan Khas dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Terengganu menyerbu sebuah kilang kayu di Mukim Jerangau, Dungun.

 “Premis berkenaan didapati gagal mengemukakan lesen sah pengoperasian.

“Tujuh individu berusia antara 40 hingga 60 tahun ditahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

“Rampasan termasuk mesin bandsaw, cross cut blade, mining shovel, pengasah mata gergaji, kayu bulat pelbagai saiz dan sebuah lori dengan nilai keseluruhan RM304,470,”katanya.

Beliau berkata pada 22 Februari, satu lagi serbuan dijalankan di Gual Terbok, Rantau Panjang.

Katanya hasil pemeriksaan menemui sejumlah besar kayu bulat dan kayu siap dipercayai tidak bercukai serta tanpa permit pemindahan sah.

“Empat lelaki termasuk dua warga asing ditahan di bawah Seksyen 84 Akta sama. Rampasan membabitkan sebuah excavator, dua unit bandsaw, dua unit cross cut, 1,317 batang kayu bulat dan 4,287 kayu siap dengan nilai keseluruhan RM2,870,000.

“Serbuan pada 25 Februari di Bukit Telaga, Gual Ipoh, Tanah Merah pula menyaksikan tujuh individu ditahan selepas pemeriksaan mendapati ribuan kayu bulat dan kayu siap disyaki tidak bercukai serta tanpa permit sah.

“Rampasan dalam operasi itu membabitkan sebuah excavator, sebuah lori Daihatsu, mesin bandsaw, mesin pengasah mata gergaji, chainsaw serta ribuan kayu bulat dan kayu siap dengan nilai keseluruhan hampir RM2,995,000 juta.

Beliau berkata kejayaan berkenaan membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya PGA dalam memelihara khazanah hutan negara daripada terus dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.

“Pihak polis akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam aktiviti pembalakan haram,”tegasnya.

Orang ramai turut diseru agar menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah hutan bagi memastikan khazanah negara terus terpelihara demi kesejahteraan dan kemakmuran generasi akan datang.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here